TRAGEDI kebakaran saluran paip gas di Putra Height, Subang Jaya pada Selasa, menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai punca berlakunya insiden berkenaan.
Tampil memberi penjelasan, Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim menegaskan projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas berkenaan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Malah ujarnya, projek tersebut bukan berada dalam Rizab Laluan (ROW) Petronas dan telah diberikan kelulusan serta kebenaran merancang (KM) pada tahun 2022.
"Projek itu melalui proses kelulusan yang sewajarnya, termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak PETRONAS untuk menggunakan ROW bagi laluan Indah Water Konsortium (IWK).
"Selain itu, kontraktor yang terbabit juga adalah panel yang diluluskan oleh IWK dan PETRONAS," katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), pada Rabu.
Ketika mengulas mengenai dakwaan yang tersebar di media sosial berhubung projek berkenaan, Amirul berkata ketika ini semua pihak perlu menunggu hasil siasatan terperinci PETRONAS untuk mengetahui punca sebenar kebakaran dan letupan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: “Tercucuk paip tu meletup sampai rumah kau nanti” - Tular tangkap layar WhatsApp, individu dakwa tanah rizab PETRONAS diceroboh
Dalam pada itu beliau menambah, projek berkenaan sepatutnya siap pada Disember tahun lalu, namun mengalami sedikit kelewatan kerana masih dalam proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
"Saya tidak pasti punca sebenar kelewatan ini kerana ia di luar bidang kuasa... mungkin melibatkan faktor kewangan atau lain-lain.
"Tapi yang pasti semua kelulusan diperoleh mengikut prosedur yang ditetapkan," ujarnya lagi.
Terdahulu, tular tangkap layar perbualan WhatsApp yang mendakwa berlakunya pencerobohan tanah rizab PETRONAS sebelum kebakaran itu tercetus.
Tangkap layar tular itu memaparkan mesej antara dua individu yang bertarikh 17 Disember.
"Masuk rizab PETRONAS dah. Kena report ni PETRONAS. Dia tercucuk paip tu meletup sampai rumah kau nanti.
"Main selamba je diaorang ni. Dah masuk pagar dah, dia dah robohkan pagar tu," tulis pengirim mesej itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada Selasa memaklumkan pihaknya akan menyiasat dakwaan punca kebakaran itu disebabkan oleh kerja mengorek di tanah rizab PETRONAS.