suria

Siasatan awal dapati tiada kerja pembinaan ketika insiden kebakaran saluran paip gas

Pasukan penyelamat dan penyelidik memeriksa kawasan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada Rabu.

TIADA aktiviti pembinaan dilakukan pada tarikh berlakunya insiden letupan saluran gas di Putra Heights, demikian  hasil siasatan awal Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Menurut Pengarah CIDB Selangor, Heryanti Hilmi, pasukan penguatkuasaan di bawah seliaannya turun padang di lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat daripada agensi dan kontraktor terlibat, sebagai sebahagian daripada siasatan.

Tambahnya, siasatan di lokasi kejadian menunjukkan tapak pembinaan 10 unit kedai pejabat dua tingkat tersebut terletak 30 meter dari lokasi paip gas yang meletup.

ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran saluran paip gas: Datuk Bandar sahkan projek pembangunan berhampiran lokasi dapat kelulusan

"Laporan yang kami terima daripada kontraktor menunjukkan hanya terdapat kerja-kerja pembentungan dilakukan di tapak pembinaan tersebut pada pada Ahad.

"Manakala kerja-kerja 'house keeping' pula dilakukan pada hari Isnin. Tiada sebarang kerja pembinaan sedang berlaku di tapak tersebut pada semalam (Selasa) semasa letupan gas berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, ketika kejadian, terdapat seorang pengawal warga tempatan dan seorang pekerja warga asing sedang berada di tapak pembinaan projek tersebut.

"Kedua-dua mereka telah dikejarkan ke hospital kerana kecederaan yang diterima akibat insiden letupan tersebut," katanya sambil menambah, kes masih dalam siasatan lanjut kerana CIDB masih menunggu dokumen sokongan lain bagi mendapatkan klasifikasi insiden di bawah skop pematuhan Akta 520. 

Terdahulu, kecoh di media sosial bahawa tragedi letupan paip gas tersebut dikatakan berpunca daripada kawasan pembinaan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada Selasa berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan punca kebakaran berkenaan sama ada ia disebabkan kerja mengorek yang dilakukan di tapak pembinaan.

Artikel Lain