suria

Letupan saluran paip gas: CIDB tarik semula kenyataan, enggan dahului siasatan

Keadaan semasa di kawasan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights yang kini padam sepenuhnya semasa tinjauan pada Rabu.

LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menarik semula kenyataan media yang dikeluarkan pada petang Rabu berkaitan kes kejadian letupan saluran gas di Putra Heights. 

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu malam, agensi tersebut berkata tindakan berkenaan diambil kerana tidak mahu mendahului proses siasatan yang masih berjalan dan membabitkan banyak pihak berkuasa.

"CIDB ingin memohon maaf atas sebarang kekeliruan atau kebimbangan yang tercetus akibat kenyataan tersebut terutamanya kepada penduduk yang terkesan.

"Kami memahami kesulitan yang dihadapi dan berusaha memastikan perkara ini ditangani dengan penuh integriti dan ketelusan.

"Sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri pembinaan negara, CIDB memberi jaminan akan membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa terlibat.

"Kami komited untuk memastikan setiap aspek kes ini diteliti secara menyeluruh dan adil," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan awal dapati tiada kerja pembinaan ketika insiden kebakaran saluran paip gas

Agensi tersebut juga menegaskan tidak akan berkompromi dalam isu pematuhan terhadap standard keselamatan dan peraturan industri pembinaan. 

"Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan atau ketidakpatuhan, tindakan sewajarnya akan diambil tanpa sebarang pengecualian.

"Komitmen kami adalah untuk memastikan industri pembinaan negara beroperasi mengikut piawaian tertinggi demi keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan semua pihak," menurutnya lagi.

Terdahulu dalam kenyataan sebelumnya, CIDB berkata tiada aktiviti pembinaan dilakukan pada tarikh berlakunya insiden letupan saluran gas di Putra Heights, berdasarkan hasil siasatan awal pasukan penguatkuasaan CIDB Selangor.

Pengarah CIDB Selangor, Heryanti Hilmi dalam kenyataan yang telah ditarik balik itu berkata, pasukan penguatkuasaan di bawah seliaannya turun padang di lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat daripada agensi dan kontraktor terlibat, sebagai sebahagian daripada siasatan.

Ujarnya, laporan yang diterima pihaknya daripada kontraktor menunjukkan hanya terdapat kerja-kerja pembentungan dilakukan di tapak pembinaan tersebut pada pada Ahad, manakala kerja-kerja 'house keeping' pula dilakukan pada hari Isnin.

Tambahnya ketika kejadian, terdapat seorang pengawal warga tempatan dan seorang pekerja warga asing sedang berada di tapak pembinaan projek tersebut.

Kedua-duanya telah dikejarkan ke hospital kerana kecederaan yang diterima akibat insiden letupan tersebut. 

Artikel Lain