suria

Tragis insiden langgar lari… Ibu hamil bersama bayi dikandung, seorang anak kecil maut

Video mangsa yang digilis sebuah kereta itu tular di media sosial.

SATU kemalangan tragis berlaku di Kilometer 264 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan, berhampiran Terowong Menora, Ipoh pada petang sehari sebelum sambutan Aidilfitri.

Kemalangan ini melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza yang dipercayai hilang kawalan akibat tumpahan minyak di atas jalan sebelum terbabas.

Lebih menyayat hati, satu video yang dimuat naik oleh Mohd Shahnom Ismail di Facebook menunjukkan mangsa, Nur Fatihah Badrul Hisyam, 25, digilis dan diseret di bahagian kepala sejurus kemalangan berlaku.

Menerusi rakaman video tular itu, kelihatan kenderaan yang melanggar mangsa tidak berhenti untuk memberikan bantuan sebaliknya meneruskan perjalanan.

Dalam kejadian itu, bayi dalam kandungan mangsa yang berusia lapan bulan dan seorang lagi anak mangsa berusia satu tahun, Naira Falisya Abdul Rahman, meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Pihak hospital telah berusaha menyelamatkan Nur Fatihah dengan menjalankan pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan. 

Namun, wanita itu disahkan meninggal dunia pada keesokan paginya (Isnin) akibat kecederaan parah.

Anggota bomba membantu mangsa terlibat kemalangan di Terowong Menora.

Suami mangsa, Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, yang memandu kenderaan tersebut turut mengalami kecederaan parah.

Lebih memilukan apabila suaminya kini dalam keadaan trauma selepas melihat sendiri kejadian ketika dia berusaha merangkak keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan isteri dan anak. 

Abdul Rahman berjaya menjalani pembedahan namun masih dalam keadaan kritikal dan jenazah tiga ahli keluarganya selamat dikebumikan.

Selepas kemalangan, barangan berharga milik mangsa seperti barang kemas, jam tangan, wang tunai dan dompet juga didakwa telah dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian ini pada Isnin.

Difahamkan, kes sedang dalam siasatan bagi memburu suspek yang diklasifikasikan sebagai langgar lari.

Pihak berkuasa juga meminta bantuan orang awam untuk memberikan maklumat berkenaan dua hingga tiga kenderaan yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Artikel Lain