TRAGEDI kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni di Putra Heights, Subang Jaya, pada Selasa menggemparkan negara.
Paling terkesan tentunya ratusan mangsa dan keluarga yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.
Susulan itu, kerajaan dan PETRONAS menyalurkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik kediaman yang rosak serta RM2,500 kepada mereka yang terjejas akibat insiden tersebut.
Tinjauan mStar di PPS Masjid Putra Heights pada Rabu mendapati banyak bantuan berupa makanan dan minuman, pakaian dan kelengkapan lain turut disumbangkan kepada mangsa daripada individu, organisasi mahupun badan bukan kerajaan (NGO).
Masayuan (kiri) bersama keluarga yang terkesan akibat insiden yang berlaku.
Ibu kepada empat cahaya mata, Masayuan Takbir, 38, berkata, salah seorang anaknya mengalami melecur di tangan dan kaki akibat kesan bahang yang sangat panas.
"Ada kesan lecur pada tangan dan kaki anak lelaki saya. Pergerakannya kini terhad sebab sakit.
"Saya berharap ada bantuan berupa pakaian yang bersesuaian dengan keadaan anak saya seperti baju lengan pendek dan berbutang di bahagian tengah, serta seluar pendek," katanya ketika ditemui di PPS di Masjid Putra Heights, pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: 4 tahun tak keluar rumah, 6 jiran bantu bawa keluar OKU terlantar dari lokasi kebakaran
ARTIKEL BERKAITAN: "Kakak, jangan mengalah” - Ubat tercicir ketika lari selamatkan diri, ibu 2 anak hidap asma gadai nyawa sanggup patah balik
Sementara itu, Norsyalida Abdul Wahab, 50, pula berharap agar bantuan dapat disalurkan kepada anak lelakinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) terlantar.
Norsyalida (kiri) bersama anak OKU terlantar.
Menurut ibu tunggal itu, anaknya berusia 30 tahun mengalami kematian otak sejak 10 tahun lalu, yang memerlukan penjagaan sepenuhnya selain diberikan ubat.
"Anak saya perlu menukar tiub (nasogastrik) dan pemeriksaan secara berkala setiap enam bulan.
"Dengan situasi sekarang, termasuk kerosakan rumah, banyak kos perlu difikirkan. Jadi, jika ada bantuan untuk menanggung kos untuk anak saya ini sedikit-sebanyak meringankan beban," ujarnya.
Sebagai makluman, tiub nasogastrik adalah tiub yang dimasukkan ke dalam perut pesakit melalui hidung, bagi memudahkan pemberian cecair nutrisi, air dan ubat-ubatan kepada pesakit.
Pada masa sama, dia bersyukur kerana selama ini menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berupa keperluan ubat-ubatan dan susu nutrisi secara bulanan.
Bukan sekadar itu, segelintir mangsa berharap bantuan segera turut disalurkan kepada haiwan peliharaan.
Seperti Siti Aisyah Saparudin, 30, katanya, dia sendiri mempunyai enam ekor kucing yang berjaya diselamatkan dalam insiden itu.
Kiri, Siti Asyah bersama salah satu kucing peliharaannya. Kanan, kucing milik Nurul Syaheera diperiksa di PPS.
Ibarat anak sendiri, dia yang bekerja sebagai eksekutif itu tidak menyangka kesemua si bulus ditemukan semula selepas kebakaran semakin reda.
"Masa orang ramai kecoh nak selamatkan diri, saya dan ahli keluarga hanya sempat naik kereta. Tak sempat ambil kucing-kucing tu.
"Bila situasi semakin terkawal, barulah saya masuk semula ke rumah, untuk selamatkan kucing-kucing tu.
"Bayangkan kalau kami terlewat seminit, mungkin melecur kena bahang, apatah lagi kucing. Mujur semua kucing tak keluar rumah," katanya sambil menambah jirannya, Nurul Syaheera Abdul Muis 28, turut mempunyai lima ekor kucing.
Disebabkan mereka ditempatkan di PPS, Siti Aisyah turut berharap sekiranya ada pihak berkaitan serta NGO dapat membantu menyediakan pusat penempatan sementara untuk haiwan peliharaan milik mangsa.
"Buat masa sekarang, ada yang kami bagi kepada beberapa individu untuk jaga, ada yang kami bawa ke PPS.
"Jika ada pusat penempatan sementara untuk kucing-kucing ni juga adalah lebih baik," katanya lagi.
Terdahulu, mStar melaporkan berlaku kebakaran saluran paip gas bocor di Jalan Putra Harmoni Putra Height, kira-kira pukul 8.10 pagi Selasa.
PETRONAS Gas Berhad (PGB) dalam satu kenyataan kemudiannya mengesahkan berlaku kebakaran di saluran paip utama di lokasi itu.
Setakat pukul 12.30 tengah hari Rabu, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Masjid Putra Heights mencatatkan seramai 323 mangsa daripada 84 keluarga.