suria

Dituduh gigih buat content rakam momen jumpa duit bertaburan di lebuh raya, pemuda beri penjelasan

Ajiq menyerahkan semula duit yang tercicir kepada pemilik asal.

SEORANG pemuda dikecam netizen selepas video memaparkan dirinya menemukan wang tunai hampir RM1,000 di Lebuhraya Pantai Timur, Gambang, Pahang, tular di media sosial.

Dalam rakaman yang dikongsi di TikTok, Haziq atau lebih dikenali sebagai Ajiq mendakwa menemui wang berterbangan di tengah lebuh raya selepas seorang penunggang motosikal Yamaha R25 meluncur laju di kawasan itu.

Namun, tindakan Ajiq merakam dan memuat naik video ketika mengutip wang itu mengundang pelbagai reaksi dengan ramai yang mempertikaikan keikhlasan serta kesahihan kejadian tersebut.

Rata-rata netizen beranggapan ia sekadar content (insiden dirancang atau mencipta sensasi) semata-mata bagi meraih tontonan dan perhatian. 

"Pandai duit tu terbang dekat divider. Mungkin takut 'kena langgar'.

"Firasat saya mengatakan duit tu duit awak baru ambil dari mesin ATM. Siap ada kad bank.

"Pelik je boleh pula terbang ngam-ngam dalam divider. Gigih betul," sindir beberapa netizen mempertikai lelaki tersebut.

Dalam video susulan, Ajiq memaklumkan bahawa dompet dan wang tunai berjumlah RM920 telah berjaya diserahkan kepada pemiliknya. 

Tangkap layar perkongsian Ajiq di TikTok.

Jelasnya, video ketika mengutip wang tersebut dirakam untuk ditunjukkan kepada pemilik wang sebagai bukti.

Menerusi kapsyen video tersebut, Ajiq menceritakan semula bagaimana dia berjaya menghubungi dan menyerahkan semula wang kepada pemilik dompet tersebut.

Katanya, selepas menemukan dompet, dia memeriksa kad pengenalan yang terdapat di dalamnya  dan mendapati pemilik berasal dari Senawang, Negeri Sembilan.

“Tanya kawan di Senawang, kenal tak member (pemilik dompet) ni? Kemudian kawan kongsi dalam kumpulan WhatsApp. 

"Dalam masa dua jam, Allah permudahkan urusan, kawan pemilik telefon dan beritahu bahawa pemilik berada di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing,” katanya.

Ketika dihubungi Ajiq, pemilik dompet yang ketika itu dalam perjalanan ke Terengganu menyatakan kelegaannya apabila mendapat tahu dompetnya ditemui dalam keadaan selamat. 

Setelah beberapa pengesahan dibuat termasuk membaca maklumat dalam kad pengenalannya serta jumlah wang yang hilang, barulah Ajiq yakin dompet itu benar-benar milik lelaki berkenaan.

Walaupun menerima kecaman, rata-rata netizen memuji kejujuran pemuda ini dan menyifatkan tindakannya sebagai contoh terbaik nilai integriti dalam masyarakat.

"Biar la orang kata content ke, duit sendiri ke... asalkan Allah nilai apa yang tuan buat. Darjat tuan tinggi di sisi Allah sebab amanah dalam melakukan kebaikan.

"Tak apa biar berjuta manusia tak percaya dekat awak, cukup hanya Allah saja yang tahu. Mereka semua tu tak penting. Yang penting awak terus la berbuat baik walaupun sekecil kebaikan," komen beberapa netizen.

Artikel Lain