POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang wanita hamil yang maut didakwa menjadi mangsa langgar lari di Kilometer 264.4, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) selepas Terowong Menora, Ahad lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan lanjut dijalankan termasuk mengesan pemilik kenderaan terlibat.
"Ya, kita sedang melengkapkan siasatan. Insya-Allah, siaran akhbar akan dikeluarkan," katanya pada Khamis, dipetik Sinar Harian.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial dipercayai dimuat naik oleh ahli keluarga mangsa, memohon bantuan orang ramai mengesan pemilik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan seorang wanita hamil dan anak perempuannya yang berusia dua tahun.
Melalui perkongsian itu, individu berkenaan mendakwa berlaku unsur langgar lari membabitkan beberapa kenderaan dalam nahas terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragis insiden langgar lari… Ibu hamil bersama bayi dikandung, seorang anak kecil maut
"Kalau tak sengaja sekali pun, sekurang-kurangnya berhentilah tepi atau bantu. Ini jalan terus dan lari, betul-betul tiada perasaan sebagai seorang manusia.
"Minta tolong bantuan pihak lebuh raya dan orang awam untuk mendapatkan maklumat dua ke tiga kenderaan dan pemilik kenderaan langgar lari tersebut.
"Terima kasih diucapkan kepada polis yang kini sedang berusaha memburu suspek (langgar lari)," kongsi hantaran tersebut.
Dalam kejadian yang berlaku pada petang Ahad, Perodua Bezza yang dipandu suami mangsa, Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, dipercayai hilang kawalan akibat tumpahan minyak di atas jalan sebelum terbabas.
Menerusi rakaman video tular, kelihatan mangsa, Nur Fatihah Badrul Hisyam, 25, digilis dan diseret sejurus kemalangan berlaku dan kenderaan yang melanggar mangsa tidak berhenti untuk memberikan bantuan, sebaliknya meneruskan perjalanan.
Bayi dalam kandungan mangsa yang berusia lapan bulan dan seorang lagi anak mangsa berusia dua tahun, Naira Falisya Abdul Rahman, meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Nur Fatihah disahkan meninggal dunia pada keesokan paginya (Isnin) akibat kecederaan parah.
Suaminya kini selamat menjalani pembedahan namun masih dalam keadaan kritikal.
Jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan pada Isnin.