TRAFIK di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sesak sepanjang 28 kilometer susulan nahas yang berlaku di KM135.3 (arah utara) antara Yong Peng dan Pagoh, pada Khamis.
Menurut catatan laman rasmi X Plus Malaysia Bhd (@plustrafik), kejadian yang berlaku pada pukul 3.52 petang itu membabitkan sebuah lori yang terbalik mengakibatkan lorong kiri, lorong kanan, dan separuh lorong kecemasan terhalang.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragis insiden langgar lari… Ibu hamil bersama bayi dikandung, seorang anak kecil maut
"Kemalangan KM135.3 arah utara dari Yong Peng (U) ke Pagoh. Lorong kiri, lorong kanan dan separuh lorong kecemasan terhalang.
"Semua lorong masih ditutup sementara bagi proses pengalihan. Trafik sesak 28km. Rancang perjalanan anda. Harap maklum," demikian hantaran yang dimuat naik pada pukul 7.35 petang.
Bersama hantaran berkenaan, turut dimuat naik gambar memaparkan sebuah lori terbalik merentangi laluan arah utara.
Kerja pengalihan sedang dijalankan.
Dalam catatan terbaharu, difahamkan kerja pembersihan kemalangan masih dijalankan.
"Semua lorong masih ditutup sementara. Kelewatan berpunca daripada pengguna yang menggunakan laluan kecemasan yang menghalang laluan petugas kecemasan ke lokasi kemalangan. Harap maklum," tulisnya lagi.
Untuk info trafik lanjut, hubungi Plusline di 1-800 880 000 atau layari laman X @plustrafik.