PEMANDU lori yang terbabit nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam di Teluk Intan, Perak mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata pemandu berusia 45 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah kebanyakannya berkaitan dadah.
“Dia mempunyai enam rekod jenayah lampau, terutamanya kesalahan dadah.
“Pemandu yang kini dalam tahanan polis juga dipercayai mempunyai beberapa saman trafik tertunggak,” katanya.
Beliau berkata demikian di Unit Forensik Hospital Teluk Intan ketika ditemui media pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Angka kematian meningkat, 10 terkorban nahas FRU dengan lori pasir
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota FRU terkorban sempat kongsi video di WhatsApp, tunjuk suasana dalam trak bersama rakan-rakan
Tambah Noor Hisam, ujian air kencing awal pemandu itu menunjukkan keputusan negatif, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Dalam kejadian 8.50 pagi itu, kegagalan fungsi stereng dipercayai menjadi punca lori membawa muatan batu merempuh lori FRU.
Trak FRU dari Unit 5 yang membawa 18 orang anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh sesudah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di Hilir Perak.