SEORANG lelaki dipenjara sebulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan sepasang suami isteri cedera.
Jurujual aksesori kereta yang dikenali sebagai K. Darmaraju, 32, itu turut didenda RM12,000 pada Selasa.
Pengakuan bersalah oleh tertuduh dibuat di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni, selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dia didakwa memandu trak pikap Nissan Navara secara melulu pada 10 Mei di Lebuhraya PLUS menghala ke pusat bandar, sebelum Plaza Tol Duta.
ARTIKEL BERKAITAN: “Dia takut nak turun, bimbang kena pukul” - Pemilik Navara kes langgar lari kesal foto, alamat tersebar
Dia diperintah menjalani hukuman penjara bermula tarikh ditangkap pada 11 Mei.
Tertuduh juga hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.
Sebelum ini, mStar melaporkan sepasang suami isteri cedera selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar oleh sebuah trak pikap pada Sabtu.
Video kemalangan itu turut tular di media sosial sehingga ia mengundang kemarahan ramai.