suria

"Tadi satu ringgit, sekarang dua ringgit" - Lelaki dikecam ejek peminta sedekah kelaparan, kongsi di TikTok

SEORANG lelaki melalui akaun TikTok miliknya yang menggunakan nama 'Teh Tarik' dilihat sedang duduk di bangku sebuah kedai dobi dan di belakangnya kelihatan seorang lelaki tua.

Dia, yang menggunakan nama Dany Albadillah di Facebook kemudian memanggil lelaki tua dan kurus yang sedang kelaparan itu sambil mengejeknya.

Pemuda itu menganggap lelaki tua itu mempunyai muslihat kerana mula-mula meminta wang dan kemudian meminta makanan.

Dia mempertikaikan apa sebenarnya yang dimahukan lelaki berkenaan.

"Saya pun belum makan lagi, saya pun lapar.

"Uncle mau berapa ringgit? Tadi satu ringgit, sekarang dua ringgit," katanya sambil pura-pura menangis.

Sambil meniru apa yang dibuat lelaki tua itu di hadapan kamera untuk dilihat para pengikutnya, dia juga dilihat mengejeknya, menyebabkan lelaki tersebut bangun dan berlalu.

Selepas pengguna media sosial memuat naik klip tersebut ke laman Facebook 'We Are Malaysian' netizen mengecam tindakan pemuda itu dengan menggelarkannya kejam dan berharap dia mendapat pembalasan suatu hari nanti.

Susulan kecaman yang diterimanya, Dany membuat permohonan maaf melalui akaun Facebooknya, yang mana dia mengaku salah dan meminta maaf kepada lelaki berkenaan. -MSN

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
TikTok, lapar, dobi

Artikel Lain