suria

Doktor anti vaksin dikecam selepas muncul di TV

Dr Nurulhuda menafikan beliau ingin mempengaruhi individu lain tentang isu berkaitan vaksin.

SELEPAS dijemput menjadi panel bagi sebuah program bual bicara stesen televisyen tempatan, seorang doktor sambilan (freelance) dikecam teruk oleh pengguna media sosial kerana pendiriannya sebagai seorang anti-vaksin.

Netizen mula mempersoalkan kredibiliti doktor perubatan, Dr Nurulhuda Muhammed Zabedi selepas beliau dilihat memberikan hujah yang tidak meyakinkan terhadap soalan yang diajukan oleh pengacara program tersebut.

Topik yang dibincangkan dalam program Analis yang disiarkan menerusi stesen TV Al-Hijrah pada Jumaat malam itu adalah "Vaksin: Perlindungan atau Kemudaratan?".

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu buang ubat, kini tak hantar anak ke sekolah, Suhaimi Saad kata, "Pergi sekolah, tak semestinya pandai"

Seorang lagi panel yang dijemput ke program tersebut ialah pakar perunding pediatrik, Datuk Dr Musa Mohd Nordin bagi menghuraikan tentang kepentingan pengambilan vaksin.

Rakaman program bual bicara itu tular sebaik ia disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook televisyen berkenaan.

Dr Nurulhuda dan Dr Musa dijemput sebagai panel pada program bual bicara Analisis, Jumaat.

Susulan siaran program 'Analisis' tersebut, Dr Nurulhuda tampil mempertahankan dirinya menerusi sebuah posting yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu.

Dr Nurulhuda mendakwa beliau tidak diberikan taklimat tentang soalan-soalan yang akan dikemukakan oleh pengacara tersebut, biarpun telah bertanya mengenainya beberapa hari sebelum bersiaran.

"Untuk pengetahuan semua, kami sampai awal, tiada sepatah pun briefing (taklimat) apa persoalan yang bakal dibangkitkan.

"Beberapa hari sebelum itu pun saya bertanya apa nak bincang, apa soalannya, tapi tidak mendapat feedback (maklum balas)," menurut catatan Dr Nurulhuda pada posting tersebut.

Seorang pelayar Facebook, Nur Faiezah Ismail yang memberikan reaksi pada posting tersebut, berpandangan bahawa seorang yang memiliki ilmu tidak perlu diberikan taklimat terlebih dahulu sebelum dijemput untuk menyampaikan hujah.

Orang awam memprotes usul rang undang-undang kerajaan Amerika Syarikat untuk memvaksin anak-anak tanpa mendapatkan keizinan ibu bapa. - Gambar hiasan/Foto AP

"Jangan hebat berhujah dalam Facebook je. Bila live (siaran langsung) macam-macam alasan pula.

"Orang yang tinggi ilmunya tak perlu nak briefing (taklimat) sebagainya, bersedia dengan segala persoalan dan hujah yang bakal dihadapi," kata wanita itu.

Dalam pada itu, doktor sambilan tersebut turut menafikan bahawa beliau ingin menidakkan kebaikan vaksin atau mempertahankan mereka yang memilih untuk tidak mengambilnya.

Sebaliknya, Dr Nurulhuda mendakwa beliau memiliki kecenderungan sendiri dan tidak berniat mempengaruhi sesiapa untuk mengikut fahamannya.

"Saya ada kecenderungan sendiri, tapi bukan untuk pengaruhi (orang lain) supaya ikut.

"Pilihlah dengan cermat dan telitilah semua baik buruk," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Nurulhuda, anti-vaksin

Artikel Lain