suria

Meon buat bising, ingatkan lapar... rupanya nak kejutkan tuan bangun solat Subuh

Aqwa Zaimuddin Az-Zarif sudah menganggap Meon (kanan) seperti adiknya sendiri.

SIAPA sangka bunyi mengiau manja si bulus bertompok putih oren itu sebenarnya membawa maksud yang tersembunyi.

Seorang pelajar asasi undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Aqwa Zaimuddin Az-Zarif Sapuan pada awalnya tidak dapat meneka keinginan kucingnya yang dipanggil Meon itu.

Pelajar berusia 19 tahun tersebut menyangka Meon membuat bunyi bising kerana lapar atau mahu keluar dari bilik tidurnya.

Setelah bangun membuka pintu dan memberikannya makan, ternyata itu bukanlah apa yang Meon mahukan daripada tuannya.

Kata anak bongsu daripada lima beradik itu, dia tersedar bahawa sebenarnya Meon ingin mengejutkannya bangun menunaikan solat Subuh kerana kejadian berlaku sekitar pukul 6.30 pagi.

Aqwa Zaimuddin Az-Zarif dan kucingnya, Meon.

Insiden itu dimuat naik oleh Aqwa Zaimuddin Az-Zarif ke laman Twitter dan menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen.

"Sebenarnya, cuma sekali itu Meon kejutkan saya bangun Subuh kerana saya jarang ada di rumah, memandangkan saya belajar di Kuantan, Pahang.

"Pada mulanya, saya pelik bila Meon tak berhenti buat bunyi bising sampaikan dia ikut saya pergi ambil wuduk.

"Meon tunggu je tepi bilik air dan kemudian ikut saya balik semula ke bilik sehingga saya selesai solat," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Tambah pelajar yang berasal dari Pontian, Johor itu, dia yakin kucingnya membuat bunyi bising kerana ingin mengejutkannya bangun solat selepas melihat Meon sambung tidur sebaik dia habis mendirikan sembahyang.

Meon amat rapat dengan ibu Aqwa Zaimuddin Az-Zarif.

Menurut Aqwa Zaimuddin Az-Zarif, kucing tersebut diambil oleh ibunya dari sebuah kedai makan selepas meminta izin daripada pemilik kedai terbabit.

Sejak itu, pelajar tersebut sudah menganggap Meon sebagai adiknya memandangkan dia anak bongsu.

Aqwa Zaimuddin Az-Zarif turut berkongsi perangai pelik Meon yang suka baring di lopak air sehingga kadang-kadang tubuhnya basah lencun.

Jelasnya, Meon amat rapat dengan ibunya dan mereka sukar dipisahkan.

"Ke mana sahaja mama saya pergi, mesti Meon ikut. Kalau mama saya menjahit, dia akan duduk di tepi temankan.

"Kan kucing saya suka main air, bila badan Meon basah, Mama akan mandikan dan lap dia sampai kering," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Meon, kucing

Artikel Lain