suria

Akibat tweet salah fakta, insiden tertinggal anak disangka drama culik budak

Syamil tertinggal di sebuah stesen minyak selepas ibunya menyangka dia berada di dalam kereta adiknya. Foto ihsan Haziera.

SEORANG ibu terkejut apabila insiden tertinggal anaknya di sebuah stesen minyak di Shah Alam, Selangor pada Sabtu menjadi tular di media sosial gara-gara tweet 'panas' si gadis yang membantu kanak-kanak tersebut.

Lebih memburukkan lagi keadaan, si ibu dan beberapa ahli keluarganya yang menunggu di dalam dua kereta berasingan didakwa sebagai sindiket penculikan kanak-kanak.

Semuanya gara-gara kanak-kanak berusia 10 tahun yang dikenali sebagai Hadif Syamil kelihatan 'comot' dengan kesan parut dan menangis teresak-esak semasa 'diambil' seorang wanita.

Namun Haziera Hamadan, ibu saudara kepada kanak-kanak tersebut tampil menjelaskan situasi sebenar selepas timbul salah faham gara-gara tweet pengguna akaun @dinasvibe.

Haziera ketika dihubungi mStar Online meluahkan rasa kesal kerana tweet tersebut menjejaskan nama mereka sekeluarga.

"Semuanya hanya salah faham. Kami bukan sindiket culik kanak-kanak. Budak tembam tu adalah anak buah saya. Dia tertinggal semasa kami singgah di sebuah stesen minyak.

"Kami naik dua kereta dan baru sahaja pulang dari WaterWorld I-City. Kakak saya (ibu Syamil) ingat Syamil naik dengan saya. Jadi kakak terus gerak. Semasa dalam kereta abang Syamil beritahu adik dia pergi tandas.

"Kakak call saya nak sahkan sama ada Syamil ada dalam kereta saya. Sebaik dapat tahu Syamil tak ada, kami terus pecut pergi semula ke stesen minyak tersebut," katanya.

Shaida turut menjelaskan perkara sebenar di Twitternya.

Menurut Haziera dek kerana terlalu bimbang dan tempoh menunggu lampu isyarat agak lama, kakaknya, Shaida terus keluar kereta dan berlari mencari anaknya di stesen minyak tersebut.

"Sampai kat sana Syamil terus berlari kepada kakak. Kakak saya tak perasan Dina (pemilik Twitter @dinasvibe) dan teman lelakinya ada bersama Syamil waktu tu.

"Akak saya hanya perasan kereta hitam dekat situ. Dia ucap terima kasih kat orang dalam kereta tu. Dia memang tak perasan Dina dan teman lelakinya.

"Semasa kakak saya melintas nak ke stesen minyak, kami ternampak dari dalam kereta Syamil duduk dengan Dina dan teman lelakinya. Kami tak masuk ke dalam stesen minyak sebab kereta banyak, jadi kami park tepi jalan," katanya.

Susulan itu, netizen mengecam tindakan pemilik akaun Dinasvibe yang dikenali sebagai Dina kerana dilihat sengaja mensensasikan insiden tersebut semata-mata untuk meraih retweet.

Tweet @dinasvibe berbunyi thread mengenai sindiket culik budak dekat Seksyen 7 Shah Alam. Retweet sebelum korang hilang RM500 cuma sebab nak jadi baik! telah tular dan diulang kicau hampir 10,000 kali.

Mohon Maaf

Susulan salah faham itu, netizen dan keluarga Syamil mendesak Dina supaya memohon maaf.

Posting Dina mengenai insiden itu tular di Twitter.

Dina akhirnya memohon maaf dan mengaku silap di atas tweetnya yang tular.

"Di sini saya ingin memohon sejuta maaf dan ampun kepada pihak keluarga adik Syamul terutama sekali kedua ibu bapa, mak cik adik Syamil dan sesiapa sahaja yang mungkin terkena tempiasnya.

"Saya mengaku akan kesilapan saya mungkin dari segi bahasa yang sangat kasar serta melukakan hati banyak pihak. Saya juga mohon maaf sekiranya tweet saya itu meletakkan ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang turut terlibat dalam keadaan yang tidak baik atau apa sekalipun," tulisnya di Twitter.

Dina berkata dia hanya mahu memberi peringatan kepada umum tetapi bahasa yang digunakannya tidak bersesuaian.

"Semoga dapat memberi ruang untuk saya belajar dari kesilapan kerana saya tahu, niat tidak menghalalkan cara. Sekali lagi saya minta maaf," katanya.

Haziera berkata mereka sekeluarga sudah memaafkan Dina di atas kesilapannya dan berharap dia lebih berhati-hati semasa menggunakan Twitter selepas ini.

"Kami maafkan dia. Tak apalah mungkin sebab dia nak sedarkan orang ramai, niat dia bagus tapi apa-apa pun periksa dulu betul ke tak fakta tu sebelum fikir nak post.

"Sebab boleh jadi ada cerita lain di sebaliknya. Kalau rasa was-was baik tak payah nak viralkan takut diri sendiri yang malu. Gara-gara tweet dia kakak saya pun turut dikecam," katanya.

Dina tampil membuat permohonan maaf.

Dalam pada itu, Haziera mewakili kakaknya turut meminta maaf kepada Dina kerana tidak mengucapkan terima kasih di atas keprihatinannya terhadap Syamil.

"Kami akui kami pun buat silap kerana cuai. Tapi sejujurnya kakak saya tak nampak Dina sebab jarak agak jauh dan Syamil dah berlari menangis pergi kepada kakak.

"Jadi saya mewakili kami sekeluarga ingin berterima kasih kepada Dina dan teman lelakinya. Kami tak sempat nak pergi dekat mereka sebab kami park tepi jalan, jadi kena cepat," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
culik, tweet, stesen minyak

Artikel Lain