AWAL tahun ini media sosial dibanjiri gambar perbandingan menerusi cabaran #10 Years Challenge yang bermula di luar negara sehinggalah menjadi ikutan di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Namun yang terkini, media sosial dihebohkan dengan cabaran #janganbayarchallenge yang diperkenalkan dua sahabat dan tular sejak dua hari lalu. Kandungan video cabaran tersebut yang dimuatnaik di Instagram pengguna akaun @zairulgriezmann sejak dua hari lalu mengundang kecaman netizen. Rata-rata netizen menyifatkan cabaran yang diketengahkan sebagai perbuatan paling tidak masuk akal, diibaratkan seperti sampah selain video tersebut dikatakan ‘hambar dan bodoh’. Susulan dikecam hebat netizen, Mohd Zairul Hafizi Khalis yang juga pemilik akaun Instagram @zairulgriemann tampil menjelaskan kisah di sebalik video cabaran tersebut. Posting di Twitter yang menyelar video tersebut. Mohd Zairul ketika dihubungi mStar Online mendedahkan adegan tersebut sebenarnya dilakonkan semula hanya selepas dia membayar makanan atau minuman yang dilarikannya. “Sebenarnya saya dan seorang lagi rakan saya Muiz buat video tersebut sebab nak hiburkan orang dekat IG. Dan kami dah pun berpakat dengan semua yang terlibat dalam video tersebut. “Mereka semua kawan-kawan saya. Sebenarnya kami dah bayar dulu, kemudian barulah kami buat video. Kami siap minta izin dekat mereka terlebih dahulu boleh tak berlakon macam tu,” katanya. Bagaimanapun, pemuda berusia 22 tahun itu tidak menduga video cabaran tersebut akan mengundang kecaman netizen. “Mungkin mereka ingat kami betul-betul tak bayar sebab dalam video tu kami terus lari. Silap kami juga sebab tak letak video di sebalik tabir. “Itu yang buat netizen marah sehingga ada yang kata makanan itu haram dan menyamakan perbuatan kami seperti mencuri,” katanya. Meskipun kecewa dengan kritikan netizen, Mohd Zairul dan rakannya, Muhammad Muizzuddin Abdul Mutalib memohon maaf kepada orang ramai yang tersinggung dengan video tersebut. Paparan skrin video di IG miliknya. “Kami minta maaf. Kami terima segala teguran netizen sebagai sesuatu yang positif. Salah kami juga sebab membuka ruang kepada mereka untuk mengecam kami. “Kami manusia biasa yang lakukan kesilapan. Kami juga tak ada kuasa nak undurkan masa tapi lepas ini kami akan cuba ubah konsep video yang sesuai dengan masyarakat di negara ini,” katanya. Ditanya bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan video cabaran itu, pemuda berasal dari Melaka itu berkata segalanya berlaku secara spontan. “Idea ini datang secara spontan… tiba-tiba terlintas di fikiran. Jadi kami terus buat sahaja. Lagipun ramai DM (direct message) minta kami buatkan video. “Sebab video sebelum ini buat mereka terhibur. Tapi bila buat video cabaran ini tak sangka lain pula jadinya. Kami akan hasilkan video yang lebih positif dan bermoral selepas ini,” katanya. Terdahulu, seorang pelayar Twitter meluahkan rasa kesal dengan video cabaran tersebut. Tweet miliknya yang berbunyi “Seorang bapa dipenjara kerana mencuri makanan untuk diberi makan kepada anak-anaknya yang kelaparan. Namun Instafamous tergamak buat cabaran bodoh ini. Sebelum saya rakam skrin (video), saya baca komen dan mereka bangga dakwa mereka tak bayar. Mencuri adalah berdosa tetapi mereka amat bangga” diulang kicau lebih 16,000 kali dan mendapat 6,068 tanda suka. View this post on Instagram Challenge terbaru, Tag kawan korang ! #zairulbuathal #jarangtakbuathal A post shared by mohd zairul (@zairulgriezmann) on Feb 16, 2019 at 4:16am PST