suria

“Sayang abah sampai ke syurga” Coretan lama di FB tersiar kembali, Aliff Syukri luah memori bersama arwah

Aliff Syukri bersama bapanya yang ketika itu dirawat di hospital. Foto instagram aliffsyukriterlajak laris

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri dikejutkan dengan pemergian bapanya, Kamarzaman Kamaludin akibat komplikasi jantung tahap tiga dan paru-paru berair pada petang Selasa.

Masih dilanda kesedihan, Aliff berkongsi luahan menerusi penulisan dan gambar daripada simpanan halaman Facebooknya empat tahun lalu yang kini tersiar kembali.

Menurut coretan itu, Aliff memberitahu, kehidupan manusia diuji dengan pelbagai jenis cubaan dan rintangan, dan penghinaan akan membuatkan seseorang itu lemah.

“Tetapi bila kita lihat orang yang berada sekeliling barulah kita ketahui bahawa ada orang lebih teruk diuji berbanding kita.

“Dan saya percaya rezeki kita akan muncul kelak jika kita percaya akan bakat yang diberi. Kelak barulah kita ketahui kemanisan ujian yang diberikan,” kata Aliff menerusi perkongsian yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, petang Rabu.

Perkongsian Aliff Syukri mengenai arwah bapanya di laman sosial, petang Rabu.

Aliff berkata, beliau mahu berkongsi kisah yang dilihatnya sendiri tetapi berasa sayu untuk menceritakannya, iaitu mengenai bapanya.

“Sebagaimana seorang lelaki berusia 57 tahun dan amat lurus orangnya digelar acik aman abah saya sendiri dan kakak saya sendiri @yatie_sendayutinggi yang susah daripada muda hinggalah tua bekerja sebagai pengawal keselamatan hampir 25 tahun dengan gaji bawah RM900 yang mempunyai anak lapan orang bayangkan.

“Mungkin tak ada rezeki nak merasa senang demi menanggung anak yang ramai. Dulu dia bersama anak kecil hingusan (saya) yang membawa barang yang banyak berisi jeruk ke sekolah membonceng motor ke sekolah,” katanya.

Tambah Aliff, bapanya sering berkongsi luahan mengenai impian untuk membeli sebuah kereta Honda, malah bergurau dengan anaknya berhubung hasratnya itu.

“Kalau Syukri (panggilan buat Aliff) dah jual jeruk maju bolehlah belikan abah kereta nanti Syukri kalau abah dapat KWSP, abah belikan Syukri motor RXZ. Syukri boleh jual jeruk dari rumah ke rumah.

“Tapi bila saya dah dewasa apa yang dirancang tidak kesampaian. Alhamdulillah rezeki saya hari ini saya belikan kereta Perdana tiga tahun lepas dan dia tersenyum gembira hari ini sampai ke telinga apabila kereta impian beliau menjadi kenyataan,” katanya.

Kenangan... Aliff Syukri (kanan) bersama bapanya, Allahyarham Kamarzaman.

Bagi Aliff, pemberiannya itu hanya kecil sekiranya dibandingkan dengan jasa dan sumbangan bapanya yang tidak ternilai kerana membesarkannya selama ini.

“Apa yang saya bagi pada dia, tiada apa-apa berbanding jasa dia membesarkan saya. Mungkin abah dan saya dulu pernah dihina tapi bukan untuk kali kedua.

“Hiduplah wahai abah dengan sisa-sisa kehidpan dengan penuh keseronokan dan kedamaian. Itu yang Syukri nak... Syukri sayang abah sampai ke syurga,” kata Aliff yang turut memuat naik gambarnya bersama bapa di samping kereta Honda, sebagai tanda kenangan buat dua beranak itu.

Allahyarham Kamarzaman, 59, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5 petang Selasa di Hospital Thompson, Kota Damansara.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23, Sungai Nibong, di Sabak Bernam, Selangor, pagi Rabu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain