PLATFORM e-dagang terkenal, Shopee memberi jaminan keselamatan buat pelanggannya setelah kes penipuan melibatkan aplikasi itu tular. Shopee menerusi satu kenyataan mengakui peka dengan berita tersebut dan mengambil berat terhadap apa yang berlaku. ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Lelaki ini nyaris 'lesap' RM1,500 gara-gara nak beli TV terlajak murah di aplikasi e-dagang “Kami sudah menghubungi pelanggan itu. Dia juga sudah mendapat semula wang sejurus dia membatalkan tempahan. “Kami menetapkan dasar Jaminan Shopee untuk melindungi kepentingan pembeli dan memastikan transaksi dilaksanakan dengan selamat di platform ini. “Akaun penipu ini telah diharamkan secara kekal malah telah ditutup dalam masa 24 jam,” ujar wakil Shopee pada Rabu. Menerusi laporan mStar Online pada Selasa, Mohd Faiz Zarizi Mohd Azli, 32, nyaris kerugian RM1,500 ketika menempah televisyen pintar menerusi platform Shopee. Tawaran TV pintar 65 inci yang hampir membuat Faiz terpedaya. Kes tersebut tular di media sosial sehingga dikongsi lebih 9,000 pelayar Facebook. Menurut pereka grafik itu, dia yang pada mulanya teruja ditawarkan dengan harga rendah mengubah fikiran selepas mengesyaki dirinya cuba ditipu. “Saya memang selalu beli dengan Shopee dan kebiasaannya mereka akan hantar kod verifikasi jika log masuk kali pertama menggunakan komputer berbeza. “Tapi yang pelik bila saya dapat SMS untuk meminta kod verifikasi selepas membuat transaksi, padahal ia bukan kali pertama saya log masuk di komputer tersebut,” ujar Faiz. Scammer tersebut dikhuatiri mendaftar akaun palsu di platform tersebut untuk memperdaya pelanggannya. Mengulas kes tersebut, pihak Shopee turut berterima kasih kepada mangsa yang membongkar aktiviti penipuan tersebut. Shopee merupakan platform e-dagang terkemuka yang sering menjadi pilihan ramai pengguna di negara ini. “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pengguna yang gigih membongkar kaedah operasi penipu tersebut demi manfaat dan keselamatan pembelian semua pengguna kami,” ujar wakil Shopee. Antara langkah lain yang diambil Shopee termasuk menubuhkan pasukan anti-penipuan khas untuk mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di platform itu. Malah, pihaknya juga tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang aktiviti penipuan melibatkan pengguna. “Shopee juga mengambil satu langkah untuk membantu pengguna mengenal pasti penjual bereputasi tinggi dengan memilih Shopee Preferred Sellers (Peniaga Pilihan Shopee). “Status ini hanya diberikan kepada penjual aktif dengan penarafan gedung yang tinggi, yang telah menyempurnakan sejumlah besar transaksi dan menyediakan perkhidmatan pelanggan yang baik,” ujar wakil itu lagi.