KEKECOHAN terbaharu di laman Twitter membuktikan ramai rakyat Malaysia kurang peka dengan tarikh termasuklah jumlah hari dalam setiap bulan. Sebagai contoh, bulan Februari hanya berjumlah 28 hari sahaja. Lebih mengelirukan, bulan Februari akan mempunyai 29 hari dan ia hanya berlaku dalam empat tahun sekali. Sekadar berjenaka, seorang lelaki membuat 'prank' (gurauan) trip percuma ke Turki di Twitter miliknya sehingga berjaya 'memperdaya' ramai netizen. Menerusi tweet itu, Nor Ikhwan Sulong menawarkan percutian percuma ke Turki pada tarikh yang tidak wujud iaitu 29 hingga 31 Februari 2019. Menjadikannya lebih menarik, dalam tweet itu dia mencari dua individu sebagai pengganti untuk trip tersebut dan kos tiket, penginapan serta pakej akan diberikan secara percuma. Ia pantas menarik perhatian ramai yang kurang peka dengan tarikh tersebut sehingga Nor Ikhwan menerima ratusan mesej daripada individu tidak dikenali. Paparan skrin tweet Ikhwan yang tular di Twitter. “Sebenarnya saya copy paste dari kawan saya sahaja, tapi saya ubah dan tulis mengenai trip ke Turki. “Tak sangka pula ramai tak peka dan tak baca sampai habis, lebih 100 mesej saya dapat dari Twitter, Facebook dan WhatsApp. “Mula-mula saya balas juga, tapi sebab banyak sangat, saya abaikan sahaja lepas tu,” ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online pada Rabu. Menurut pengusaha trak makanan dari Johor Bahru itu, wujud segelintir individu yang turut menghantar mesej sedih agar mereka dipilih untuk mengikuti trip percuma itu. Malah, dia sendiri tidak menyangka tawaran tersebut akan tular dan menarik perhatian ramai netizen termasuk ahli keluarga sendiri. Ikhwan tidak menyangka ramai akan terpedaya denganTweet yang disifatkannya sebagai gurauan semata-semata. "Selain orang ramai, keluarga saya pun ada yang tanya, betul ke saya nak bagi trip percuma tu. “Ada yang sedar dah terpedaya, mereka mesej maki saya. Point nya kat sini, rakyat Malaysia memang tak suka membaca. “Walaupun ramai terpedaya dan tak sedar mengenai tarikh yang tak wujud itu, ada juga yang peka dan sedar dari awal bahawa ia gurauan semata-mata,” ujarnya yang mengusahakan lontong goreng di bawah jenama Kalori Truck. Tweet itu menjadi tular dan menerima hampir 6,000 ulang kicau (Retweet). Ia turut dihujani komen netizen yang berseloroh mengenai gurauan tersebut setelah menyedari ia hanya prank sahaja. “Salam, saya nak hadiahkan package pulang ke Rahmatullah kepada tuan punya tweet,” tulis @Jmonkey00. “Haha celah mana bulan Februari tambah lagi dua hari?” soal seorang lagi netizen.