suria

Guru terpaksa cempung murid masuk sekolah... ingatkan takut periksa gigi, rupa-rupanya ‘Monday Blues’!

ALAHAI manjanya! Mungkin itu tanggapan ramai bila kanak-kanak yang besarnya sudah separuh saiz orang dewasa dicempung seperti bayi. 

Jangan main-main kerana guru yang mendukung anak murid mereka dari pintu pagar utama sekolah hingga ke kelas, dan berat budak itu hanya Tuhan saja yang tahu. 

“Aku pujuk-pujuk, usap-usap belakang, cakap lembut pun tak jalan, penyudah aku cempung masuk ke kelas. Punya le cikgu sayang kat anak murid, siap berdukung lagi masuk ke kelas.

“Anak aku tiga orang pun tak pernah aku buat macam tu kat deme. Yang kat belakang tu Ustaz Hidayat tengah buat rundingan diplomasi pujuk masuk ke kelas. Untung le kome. Kalau zaman muda dulu memang udah ku tangankan je. Dah tua-tua ni maleh dah nak buat itu semua. Udah insaf,” kata seorang guru menerusi perkongsian di laman sosial, sehingga tular.

Perkongsian seorang guru mencempung muridnya di laman sosial sehingga tular.

Guru berkenaan, Mohammed Yusmie Mohammed Yusoff, 40, berkata, kejadian berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Dala di Gerik, Perak pada Isnin lalu.

Dia yang mengajar di sekolah tersebut sejak enam tahun lalu memberitahu, ia merupakan gelagat segelintir murid-muridnya selepas bercuti pada hujung minggu, terutama selepas kembali daripada cuti persekolahan yang panjang.

“Mula-mulanya ingat mereka lari dari sekolah sebab dapat tahu ada pemeriksaan kesihatan pergigian. Biasalah budak-budak memang takut bila doktor periksa gigi.

“Lari ke pagar sekolah tu dah macam kebiasaan terutama pada pagi Isnin. macam ‘Monday Blues’, mereka rasa nak balik rumah,” katanya kepada mStar Online, sambil menambah pemeriksaan kesihatan pergigian dilakukan sejak Isnin lalu.

Mohammed Yusmie menjelaskan, murid-murid di sekolah yang terletak di kawasan pedalaman itu adalah anak-anak penduduk dari RPS atau Rancangan Pengumpulan Semula Dala di Gerik yang menempatkan Orang Asli.

Jelasnya, terdapat segelintir murid yang masih perlu membiasakan diri dengan persekitaran baharu di sekolah, terutama mereka yang baru memasuki Tahun Satu.

Mohammed Yusmie menceburi bidang perguruan lebih 15 tahun.

Sebagai guru dispilin di sekolah itu, Mohammed Yusmie berkata, rekod kehadiran ke sekolah adalah penting bagi memastikan murid-murid mengikuti sesi pembelajaran.

“Bila ada murid-murid tak biasa ke sekolah selepas bercuti, mereka akan rasa nak balik rumah. Tapi pintu pagar sekolah dikunci dan ada pengawal yang jaga.

“Kami guru-guru di sini faham keadaan mereka. Kita pujuk dan tenangkan mereka. Ada juga pujuk dengan gula-gula dan makanan lain sebagai sebagai galakan untuk mereka membiasakan diri dengan sekolah,” kata anak jati Bota, Perak ini.

Tak perlu guna tangan, cuma kata – Siapa tak datang sekolah, nanti cikgu pergi ke rumah jumpa mak ayah. Itu pun mereka dah gerun

Mohammed Yusmie Mohammed Yusoff

Guru

Malah katanya, kadang-kadang guru-guru perlu masuk ke kampung-kampung untuk berjumpa dengan murid-murid yang tidak hadir ke sekolah, termasuk mengadakan perbincangan dengan ibu bapa mereka mengenai kepentingan pendidikan.

“Alhamdulillah, ada peningkatan dari segi rekod kehadiran murid-murid. Kami berikan ganjaran kepada mereka yang mencatatkan kehadiran penuh setiap bulan,” katanya yang menunggang motosikal ke sekolah dari rumah di Gerik dengan perjalanan sehala lebih 40 kilometer setiap hari.

Bersama sebahagian murid-murid di SK RPS Dala di Gerik.

Menurut Mohammed Yusmie, perkongsiannya di laman sosial itu bertujuan untuk mengubah persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap golongan pendidik.

Dia yang juga guru Sains dan Bahasa Inggeris ini berkata, terdapat cara yang terbaik untuk mendidik murid-murid supaya rajin ke sekolah tanpa menggunakan kekerasan.

“Seperti saya dan guru-guru di sekolah ini, kami menggunakan cara berlembut untuk memujuk mereka dan pada masa sama bersikap tegas untuk mendisiplinkan mereka.

“Tak perlu guna tangan, cuma kata – Siapa tak datang sekolah, nanti cikgu pergi ke rumah jumpa mak ayah. Itu pun mereka dah gerun,” katanya secara berseloroh.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain