BEBERAPA tweet 'pelik' yang dimuat naik ke akaun peribadi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen. Namun, tidak sampai satu jam, tweet-tweet tersebut sudah dipadam daripada akaun Ahli Parlimen Simpang Renggam tersebut. Bagaimanapun, beberapa pelayar Twitter sempat membuat tangkapan skrin ke atas tiga tweet 'pelik' berkenaan. Antara tweet yang dimuat naik itu berbunyi: "Wowww... Vitamin D people (orang)! Ni masalah berkawan dengan orang masuk office (pejabat) pukul 7 pagi terus pasang aircond (pendingin hawa) weh. Perrrhh best nye." Sebuah lagi posting yang dimuat naik oleh akaun itu kedengaran lucu dan janggal dengan keperibadian Maszlee sebagai seorang menteri pendidikan. "Mari... sebarkan cinta. Tolak jauh bahagia," tulis tweet tersebut. Bagaimanapun, beliau segera memadam semua tweet berkenaan dan memaklumkan bahawa akaunnya telah digodam. "Saya mohon maaf. Twitter saya telah digodam oleh pihak tertentu tetapi sudah berjaya diatasi dengan segera," jelas Maszlee menerusi posting terbaharu yang dimuat naik pada pagi Khamis. Segelintir netizen berpendapat bahawa beliau atau pengendali akaun terbabit memuat naik posting menggunakan akaun yang salah. Pelayar Twitter @azrimahali1 berkata: "Admin (pengendali) YB lupa switch account (tukar akaun) ni. Kan dah silap tweet." Sementara itu, @hitmanmalaya pula berkata: "Patutlah macam pelik je status."