suria

Hanya satu mesej 'makan dalam' kiriman ibu, si anak terus lupakan tudung idaman, “Saya nangis sorang-sorang dalam bilik”

Athirah (kanan) bersama ibu bapa dan tiga adik-beradiknya.

SEMPENA Hari Ibu yang diraikan pada Ahad minggu kedua Mei setiap tahun, ramai berkongsi gambar bersama ibu masing-masing, selain menitipkan ucapan dan doa buat insan paling hebat itu.

Namun posting seorang gadis mencuri tumpuan netizen apabila dia berkongsi video menyentuh hati yang diterima daripada ibunya menerusi aplikasi WhatsApp.

Perkongsian video yang dimuatnaik Nurathirah Aiman Mohd Jalil dengan kapsyen “Umi sengaja tau WhatsApp aku video ni” di Twitter mendapat 33,900 ulang kicau (Retweet) dan 25,000 tanda suka.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya rela digelar anak mak" - Bakal guru serik 'dibayar cash' selepas sepak kerusi depan ibu

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau ada perikemanusiaan seorang anak…” - Ibu derita, rayu dikeluarkan dari rumah orang tua-tua

Video tersebut menunjukkan Datuk Nurul Hidayah yang juga anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanyakan soalan sama ada seorang anak mempunyai hak untuk merajuk dengan ibunya jika merasakan dirinya tidak dilayan dengan adil.

Posting Athirah tular di Twitter.

Namun jawapan Ustazah Asni Abu Mansor mengenai pertanyaan itu membuatkan air mata sesiapa sahaja pasti gugur.

Menurut beliau, anak-anak tiada hak untuk merajuk mahupun berdendam dengan ibu kerana pengorbanan mereka melahirkan kita ke dunia amat mulia di sisi Allah.

“Apa pun yang mak kita buat mereka tetap yang terbaik… tetap yang terbaik. Kamu pandai macam mana pun ada PHD sampai empat ke, mak kita tetap betul. Walaupun apa yang dia cakap tu fakta dia salah mengalah je lah.

“Andai kita bina istana pun untuk mak kita, andai kita hadiahkan dua kilo… lima kilo emas untuk ibu kita, andai kita gendong dia untuk tawaf umrah dan haji, andai kita minum rendaman air kakinya, belum tentu dapat membalas jasanya yang mengeluarkan kita dari gelap rahim pada terang dunia ini.

“Ibu tu makhluk yang Allah muliakan, kasih ibu tidak pernah bertalak, kasih ibu tiada edahnya. Atas sebab itu kita tiada hak untuk merajuk kepada mereka, kita tiada hak langsung untuk berdendam dengan mereka. Pohonlah rahmat kerana pada dua tangannya ada tangan keramat yang boleh mendoakan kita. Doanya tiada hijab terus sampai kepada Allah,” kata pendakwah dari Gemas, Negeri Sembilan itu.

Sedutan video tersebut dipercayai diambil menerusi program Tazkirah Malam Jumaat yang mengupas tajuk ‘Merah Kubur Mak' siaran Astro Oasis, Khamis lalu.

Athirah (kiri) kesal kerana merajuk dengan ibunya (tengah).

Menurut Nurathirah atau lebih mesra disapa Athirah dia terkejut menerima hantaran video menerusi mesej WhatsApp peribadi daripada ibunya, Zahiah Ahmad, 54.

“Saya terkejut sebab ummi jarang sangat WhatsApp personal. Mungkin dia tahu saya merajuk sebab dah dua hari tak call dia, jadi dia pun hantar video tu,” katanya.

Saya terus call ayah beritahu saya nak balik minggu depan. Lepas tu saya dengar suara ummi dekat sebelah ayah saya.

ATHIRAH

Namun penuntut Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak ini berkata dia menangis selepas menonton video tersebut kerana terkenang perbuatannya merajuk dengan ibunya tempoh hari.

“Ada satu hari tu kawan saya jual tudung. Saya memang tak boleh kalau orang jual tudung ni. Rasa nak beli tapi sayang nak guna duit sendiri.

“Jadi saya screenshot status kawan saya jual tudung dekat grup WhatsApp family tapi semua pakat seen je, last last dapat bluetick. Saya pun merajuklah dengan ummi dan ayah.

“Saya tak call mereka dua hari. Tapi bila tengok video tu, Ya Allah saya rasa serba salah. Roomate saya tengah tidur, saya menangis sorang-sorang dekat bilik,” katanya ketika dihubungi mStar.

Athirah (kiri) bersama ibunya.

Kesal dengan perbuatannya, gadis berusia 19 tahun itu terus menghubungi bapanya.

“Saya terus call ayah beritahu saya nak balik minggu depan. Lepas tu saya dengar suara ummi dekat sebelah ayah saya.

“Saya pun minta maaf dan terus cakap Selamat Hari Ibu sambil nangis-nangis. Lepas tu saya dah tak kisah dah pasal tudung tempoh hari.

“Saya kesal sebab benda kecil pun nak merajuk. Tak fikir ummi banyak kali terasa hati dengan anak-anaknya,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Gadis berasal dari Kuala Lumpur ini tidak menduga perkongsiannya itu tular memandangkan dia hanya ingin berkongsi pengalamannya di Twitter.

“Saya sebenarnya tweet untuk suka-suka tapi tak sangka ramai pula retweet. Ada yang tweet kata mereka pun dapat video sama daripada ibu masing-masing.

“Banyak pengajaran yang saya dapat. Tak payahlah merajuk lagi-lagi benda kecil. Nak dikira-kira ibu kita lagi banyak benda dia merajuk dengan kita dari kecil sampai besar,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Hari Ibu, video, Asni Abu Mansor

Artikel Lain