WALAUPUN sedang berjuang melawan kanser otak, johan Tilawah al-Quran Peringkat Kedah 2018 ini tidak menjadikan penyakit itu sebagai halangan untuk berpuasa penuh pada Ramadan kali ini. Muhammad Azwar Mohd Ariff, 12, yang disahkan menghidap penyakit tersebut sejak 21 Oktober tahun lalu sama sekali tidak mahu meninggalkan ibadat tersebut. Ibunya Che Anisah Md Saad, 43, ketika dihubungi mStar memberitahu anak ketiganya itu tetap mahu berpuasa meskipun dalam keadaan kesihatannya yang tidak begitu mengizinkan. ARTIKEL BERKAITAN: "Saya terpaksa pakai tuala wanita, pampers" - Tiga tahun latihan, lelaki ini reda tak dapat pentauliahan "Hari ni dah masuk hari ketujuh kita berpuasa, Alhamdulillah dia tak pernah tinggal lagi. Setakat ini dia berjaya puasa penuh. "Cuma hari pertama kedua dia kata pedih perut tapi sekarang dah biasa. Masa tu dia kata dia doa banyak-banyak pada Allah supaya dia dapat berpuasa penuh. Azwar berjaya berpuasa penuh dan tidak tinggal solat meskipun tidak begitu sihat. "Dia dari umur enam tahun tak tinggal puasa. Itu yang rasa macam dia tak boleh nak tinggal. Alhamdulillah nampak dia sihat dan ceria, malah tak mengadu sakit apa-apa," katanya. Malah kata ibu kepada lima anak itu, Muhammad Azwar atau lebih mesra disapa Azwar tetap bersolat seperti biasa. "Dia solat macam biasa... Alhamdulillah tak pernah tinggal. Kalau dulu masa berkerusi roda dia solat sambil baring dan duduk. "Bila dia berdoa tu nampaklah air mata dia jatuh. Solat, kesabaran dan reda dia yang membuatkan dia kuat dan bersemangat melawan penyakitnya itu," katanya. Jelas Che Anisah, Azwar tidak lagi pergi ke sekolah kerana masalah penglihatan yang dialaminya sebelum pembedahan pada 23 Oktober lalu ditambah pula dengan pergerakannya yang lemah dan terhad. "Bila start sakit Ogos tahun lalu, dia sempat pergi sekolah dua minggu sahaja. Lepas tu sampai sekarang tak sekolah. "Dia tak boleh nampak sepenuhnya cuma nampak bayang-bayang. Penglihatan dia jadi kabur dua minggu sebelum pembedahan," katanya. Azwar bersama dua adik lelakinya sebelum dia sakit. Foto ihsan Che Anisah Susulan itu, Azwar berdepan kesukaran untuk membaca al-Quran yang sebelum ini menjadi amalan hariannya. "Dia hanya nampak bayang-bayang... samar-samar. Kalau baca Quran, baca buku memang tak boleh sebab tak nampak. "Jadi sekarang banyak masa dia habiskan dengan dengar audio bacaan al-Quran. Insya-Allah bila dia sembuh nanti akan hantar dia belajar Braille," katanya. Ditanya mengenai perkara dirindui Azwar ketika ini, Che Anisah berkata anaknya itu amat merindui bacaan al-Quran. Dia selalu beritahu bila dia dah nampak macam dulu, dia nak tengok dan baca al-Quran. Dia juga nak tengok muka Ummi, Abi, doktor dan jururawat yang merawat dia. Dia juga mahu ke Makkah bersama keluarga. Semoga harapannya itu tercapai dengan izin Allah. CHE ANISAH MD SAAD Ibu pesakit kanser otak "Dia memang rindu nak baca dan pegang Quran sebab sekarang dia mampu peluk dan cium Quran, tapi nak baca tak boleh. "Bila bulan puasa macam ni dia memang selalu baca Quran. Dah jadi rutin harian dan waktu puasa," katanya. Che Anisah yang juga guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Madrasah Ar Rahmaniah di Seberang Pekan Sik, Kedah berharap Azwar segera pulih dan dapat melihat semula. "Saya mohon orang ramai doakan dia terus kuat dan sembuh sepenuhnya. Dia selalu beritahu bila dia dah nampak macam dulu, dia nak tengok dan baca al-Quran. Bapanya mendukung Azwar ketika dia sakit sejak tahun lalu. "Dia juga nak tengok muka Ummi, Abi, doktor dan jururawat yang merawat dia. Dia juga mahu ke Makkah bersama keluarga. Semoga harapannya itu tercapai dengan izin Allah," katanya. Che Anisah berkata doktor tidak memaklumkan tahap kanser yang menyerang anaknya itu cuma mendedahkan ketumbuhan dalam otaknya lebih kurang 18 milimeter (mm). Katanya, Azwar juga telah menjalani pembedahan otak pada 23 Oktober tahun lalu bagi membuang cecair dan mengambil sampel kanser tersebut. Buat masa ini, Che Anisah berkata Azwar kerap berulang-alik ke hospital setiap bulan untuk menerima rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar. "Saya akan pergi bersama suami sebab saya tak pandai memandu. Sebulan sekali rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang lepas tu bawa juga ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk periksa mata dan kepala. "Kalau dulu banyak di Hospital Pulau Pinang sebab kena jalani rawatan kimoterapi dan radioterapi di situ. Sekarang dah habis dua-dua cuma perlu buat rawatan susulan," katanya.