suria

Awas, abang polis 'terlajak' tinggi! Sekali kenal, sukar hilang dari mata “Pandang-pandang macam saya ni pelik sangat...”

Muhammad Zaimi (kiri) menjadi perhatian selepas fotonya berpakaian seragam polis dengan tubuh tinggi lampai menjadi tular selepas ia dikongsi di laman sosial. Foto instagram @mizabobby

PERNAH satu masa dulu kecoh mengenai ‘abang-abang polis’ yang berbadan gemuk serta kisah anggota pasukan keselamatan sado dengan tubuh yang berketul-ketul.

Kali ini tular pula mengenai seorang anggota polis yang bertubuh tinggi lampai, yang mana ketinggiannya itu 'melayakkan' dirinya berjalan ‘catwalk’ di atas pentas peragaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pakai topi chef kini polis, ibu menangis akhirnya anak bongsu tunai hasrat arwah papa

ARTIKEL BERKAITAN: Awas ‘moodnya’ tak baik! Ibu jawab kenapa 'Inspektor Matin' muka masam


Foto polis tinggi lampai bersama rakan setugas yang tular di media sosial.

Foto jejaka itu dikongsikan menerusi akaun Instagram @mizabobby sehingga tular dan rata-rata netizen cuba meneka ukuran tinggi polis berkenaan termasuk membuat komen lucu.

“Tolong pasangkan langsir rumah kita, boleh tak,” kata seorang netizen.

Anggota polis yang tinggi lampai itu, Muhammad Zaimi Zainol berkata, tingginya adalah 191 sentimeter (sm) atau 6 kaki dan 3 inci.

Pemuda berusia 26 tahun itu memberitahu, dia baru saja menyertai Pasukan Gerakan Am (PGA) di Semenyih, Selangor selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Segamat, Johor pada akhir Mac lalu.

Panjang (kanan) bersama rakan-rakannya. -foto ihsan Muhammad Zaimi Zainol

Lebih dikenali dengan panggilan Panjang kerana ketinggiannya, gambar yang tular itu dirakamkan bersama rakan sepasukan di pejabat.

“Ketinggian saya 191sm dan mula berasa lebih tinggi berbanding dengan rakan-rakan lain termasuk ahli keluarga sejak dari tingkatan empat.

“Hanya saya dan abang kedua yang lebih tinggi berbanding adik-beradik lain, ayah dan arwah mak,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu kepada mStar.

Gambar Panjang sekeluarga yang dirakamkan pada 2012. Panjang (belakang, dua kiri) dan abang kedua Panjang (belakang, tengah).

Panjang yang berasal dari Pendang, Kedah berkata, dia dimaklumkan oleh bapanya bahawa ketinggian ‘luar biasa’ itu mungkin diwarisi daripada arwah datuknya yang juga tinggi.

Bila saya keluar dengan kawan-kawan ke pasar atau bazar Ramadan, ada ketika masing-masing terpisah sebab sesak dengan orang ramai. Tapi mereka tak ada masalah untuk cari saya, dari jauh dah nampak.

PANJANG

“Dulu memang rasa tak selesa bila orang asyik pandang-pandang macam saya ni pelik sangat. Tapi lama-kelamaan saya dah biasa dengan persekitaran.

“Soal pemakaian, kebanyakan seluar memang kena tempah sebab pinggang saya berukuran 32sm. Atau tempah untuk yang pakaian lengkap baju dan seluar seperti baju Melayu,” katanya.

Panjang (tengah) pada majlis tamat latihan di Pulapol di Segamat.

Menurut panjang, ketinggiannya itu memudahkan dia dikesan dari jarak jauh mahupun di khalayak ramai atau tempat yang sesak.

“Bila saya keluar dengan kawan-kawan ke pasar atau bazar Ramadan, ada ketika masing-masing terpisah sebab sesak dengan orang ramai. Tapi mereka tak ada masalah untuk cari saya, dari jauh dah nampak.

“Selain mudah dikesan, ramai juga minta bantuan daripada saya untuk ambil barang atau capai sesuatu di tempat tinggi. Saya OK saja,” katanya secara berseloroh.

Panjang yang kini menganggotai PGA Batalion 4 Semenyih berkata, dia mengikut jejak langkah abang keduanya yang juga seorang polis kerana faktor disiplin, selain mendapat inspirasi daripada bapa yang merupakan bekas pengawal keselamatan.

Abang kedua Panjang (gambar kiri) bersama bapa dan arwah ibu di Pulapol, Kuala Lumpur pada 2011. Panjang bersama bapa (gambar kanan) di Pulapol, Segamat pada Mac 2019.

Mengimbas zaman sekolah, Panjang memberitahu, dia pernah menyertai beberapa acara olahraga seperti larian, lompat tinggi dan lompat jauh, malah pernah menjuarai acara lompat jauh pada hari sukan di sekolah menengah.

Mengakui masih bujang, pemuda yang meminati pelakon dan penyanyi Amira Othman bagaimanapun tidak menganggap ketinggiannya itu menyukarkannya untuk mencari pasangan.

“Saya tak kisah pun orang tu tinggi ke rendah, kalau dah jodoh saya terima. Apa yang penting gadis idaman saya harus berdikari dan peramah,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
panjang, tinggi, PGA, polis

Artikel Lain