TAKTALA kita berbuka puasa dalam keadaan selesa di rumah atau restoran dengan hidangan menyelerakan, namun sekumpulan anggota bomba terpaksa menikmati juadah secara ala kadar demi menyelesaikan tugas mereka. Foto sekumpulan anggota bomba itu yang tular di media sosial memperlihatkan mereka sedang menikmati hidangan ringkas di tepi jalan selepas selesai memadamkan kebakaran. Mereka juga sempat menunaikan solat Maghrib secara berjemaah dengan beralaskan jaket keselamatan sebagai sejadah. Wajah mereka tetap ceria walaupun berbuka di tepi jalan. Gambar menyentuh hati itu dimuat naik oleh Tengku Mohd Ihsan dan turut dikongsi oleh kumpulan Friends of Bomba Malaysia di Facebook. Seorang anggota bomba dikenali sebagai Mohd Abe Joe turut terpanggil untuk berkongsi pengalamannya sendiri apabila perlu berpuasa dan berbuka puasa ketika sedang bertugas. "Pernah sekali kami baru hendak berbuka puasa tapi tiba-tiba siren berbunyi. Saya terus berlari ke dalam trak, malah tak sempat minum air. "Apabila pulang daripada operasi, saya masuk tangan ke dalam poket dan mendapati ada karipap yang saya tak sempat makan ketika berbuka," tulisnya. Kewajipan kepada Allah tidak dilupakan. Manakala seorang pengguna Facebook, Reen Muhammad teringat rakannya yang bekerja sebagai bomba terpaksa membatalkan temu janji mereka kerana perlu bertugas. "Kami merancang untu bersahur bersama tapi saya tunggu sampai Subuh dan dia tidak membalas Whatsapp dan panggilan yang dibuat kepadanya. "Dia kemudiannya memberitahu ada kes kecemasan malah ketika bertemu dengannya wajahnya kepenatan... mereka adalah hero! Hargailah mereka," ujarnya. Perkongsian itu turut mendapat 3,700 tanda suka selain 400 kali dikongsi.