suria

Rakan borak hal artis bercerai, eksekutif ini lepak berbuka bersama pekerja Bangladesh, “Mindset kita anggap mereka kotor, badan bau”

Menurut Ahmad, pengalaman berbuka puasa dengan sekumpulan pekerja Bangladesh membuka matanya terhadap golongan itu.

STIGMA buruk segelintir rakyat tempatan terhadap pekerja asing termasuk dari Bangladesh bukanlah satu perkara asing.

Malah, wujud individu yang memandang rendah terhadap golongan itu biarpun kedatangan mereka sekadar untuk mencari rezeki.

Terbaharu, perkongsian seorang jejaka Melayu mengenai pengalamannya berbuka puasa dengan sekumpulan pekerja Bangladesh menarik perhatian ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan tak sokong orang kita, tapi dedah usahawan tudung "tukang jahit Bangla bagus, lebih kemas"
ARTIKEL BERKAITAN: 
Lagi sedap daripada nira kelapa! Warga Bangladesh cetus idea hasilkan nira kurma

Bercakap kepada mStar, dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad mengakui insiden yang dilaluinya telah membuka mata dan mindanya, selain memberi kesedaran agar tidak memandang rendah terhadap golongan itu.

"Pada waktu itu saya dah duduk untuk berbuka puasa dengan kawan-kawan Melayu di pantry.

"Masa tu tengah hangat isu cerai Aliff Aziz, mereka asyik bercakap mengenai hal itu.

"Jadi saya rasa perlu cari tempat lain untuk berbuka, kebetulan saya lalu di kawasan penyediaan makanan, saya lihat pekerja Bangladesh sedang berselawat sambil tunggu waktu berbuka.

"Allah gerakkan hati untuk saya duduk dan berbuka dengan mereka. Tak ada seorang pun yang bermain telefon, semua fokus sahaja," ujarnya sewaktu dihubungi pada Rabu.

Saya bukan nak burukkan kawan-kawan Melayu. Isu utama kat sini, bagaimana jika kita berada di tempat mereka?

AHMAD

Pemuda berusia 26 tahun ini bertugas sebagai pegawai analisis operasi di sebuah gedung runcit di ibu negara.

Jelas Ahmad lagi, pengalaman itu ternyata menjentik hatinya dan membuat dia berfikir sejenak seandainya dilahirkan sebahagian daripada mereka.

"Mereka cakap, mereka tahu saya tak selesa. Tapi dalam keadaan sekarang kita semua saudara. Saya rasa apa yang dia cakap sangat betul.

"Kenapa perlu bezakan mereka? Mungkin mindset kita, pekerja Bangladesh ni kotor, badan berbau.

"Bagaimana jika saya dilahirkan sebagai mereka? Adakah saya akan menerima layanan sama? Saya tak cakap saya baik, tapi ia seperti petunjuk dari Allah," katanya lagi.

Paparan skrin perkongsiannya menerusi laman Instagram Story.

Mengulas posting di Instagram Story mengenai pengalaman itu, Ahmad berkata dia sekadar berkongsi untuk peringatan bersama.

Tambahnya, siapapun kita di dunia ini, pada pengakhiran kehidupan semua adalah sama sahaja di sisi tuhan.

"Saya bukan nak burukkan kawan-kawan Melayu. Isu utama kat sini, bagaimana jika kita berada di tempat mereka?

"Ada orang cakap, boleh je saya berbuka dalam pejabat atau di pantry. Kenapa berbuka dengan mereka. Saya pun tahu, Allah gerakkan hati saya pada hari itu.

"Masa tu, mereka bagi saya jus oren, kurma, tembikai dan nasi yang dicampur bersama ayam, timun dan sayur," katanya mengimbas peristiwa itu yang berlaku pada Khamis lalu.

 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain