MISI selesai! Rancangan tiga beradik untuk memberi kejutan kepada ibunya dua hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri berjalan lancar.
Demi melihat ibu gembira, tiga beradik ini memastikan semua yang dirancang berlaku seperti diharapkan.
Menurut Arif Rizwan Asmadi, kakaknya yang sedang belajar di London dalam jurusan undang-undang mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarga pada tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja pulang dari Kanada buat kejutan, reaksi ibu Fahmi paling kelakar!
ARTIKEL BERKAITAN: Air mata selepas tarawih! Pasangan ini menangis kerana dapat kejutan 'sukar dipercaya'... Anak terfikir “hebat sangat ke apa yang kami buat”
“Ibu bapa saya sebenarnya sudah tahu kakak saya, Anis Raihan akan kembali ke tanah air, tetapi mereka tidak tahu tarikh sebenar dia akan balik.
“Jadi saya dengan kakak berkomplot buat kejutan untuk ibu. Tetapi ada satu masa tu, kami tengah berborak, adik bongsu saya terdengar perbualan kami.
“Jadi kami ajak dia sertai rancangan ini dan suruh dia simpan rahsia. Pada hari kejadian iaitu 3 Jun, dua hari sebelum raya, kakak sampai di rumah tanpa disedari ibu,” jelas remaja berusia 17 tahun itu kepada mStar.
Jelas Arif, sebaik sahaja ibunya Ratna Nainy, 51, ternampak anak perempuannya yang berusia 23 tahun itu di depan matanya, dia terus terkejut dan menyebut namanya secara spontan.
Malah, menerusi video yang dikongsi, wanita itu dilihat jatuh terduduk sambil menangis kegembiraan.
“Memang ibu terkejut. Lagi-lagi kakak saya ni anak ‘favourite’ dia. Ibu ingatkan kakak akan sampai malam raya, tetapi lebih awal dari jangkaan dia.
“Sekurang-kurangnya kami semua sempatlah merasai suasana berbuka puasa bersama-sama,” ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.
Arif berkongsi momen gembira ibu dan kakaknya itu di laman Twitter dan tidak menjangka ramai yang turut terharu melihatnya.
“Ya, saya ada baca banyak komen daripada pengikut Twitter yang lain dan ia sesuatu yang mengharukan saya.
“Tak sangka ramai yang suka tengok reaksi ibu saya,” katanya.
Tambah Arif, kakak sulungnya telah kembali ke London bagi menyambung pengajian semester akhir.