suria

Tengok gadis berbaju Melayu, pemuda sado cabar diri pakai baju kelawar... Alamak! Mak tambah pakej “tepek bedak sejuk, pakai anak tudung”

Afiq yang berbadan sado memakai baju kelawar kepunyaan ibunya selepas menyahut cabaran diri sendiri di Twitter. Foto ihsan Afiq Iskandar Yusri

GARA-gara tular gambar lima gadis ayu berbaju Melayu di laman Twitter, netizen mula menjadikannya sebagai trend untuk cabaran di media sosial.

Salah seorang pengguna Twitter telah mencabar dirinya sendiri untuk memakai 'baju kelawar’ yang sering dipakai kaum wanita di rumah, selain dijadikan baju tidur.

“2,000 RT (ulang kicau) aku pakai baju kelawar mak aku,” cabar seorang pemuda terhadap dirinya menerusi akaun Twitter @theafiqiskandar pada Selasa dengan mengulang kicau posting lima gadis berbaju Melayu di akaun @nuhasufian.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ‘sado’ sanggup kumpul syiling kerana badan, elak aksi berseluar dalam

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir putus asa, enggan hadir konvo, pemuda sado menangis di pusara bapa

Sejak itu, posting berkenaan diulang kicau berkali ganda, melebihi 12,000 kali, jauh lebih tinggi dari angka yang disasarkan.

Afiq mencabar diri sendiri susulan foto lima gadis berbaju Melayu menerusi akaun Twitter @nuhasufian

Pemuda berkenaan, Afiq Iskandar Yusri berkata, dia baru pertama kali membuat cabaran di media sosial dan ia sekadar untuk suka-suka, susulan tular gambar lima gadis berkenaan.

Bagaimanapun, pemuda berusia 20 tahun itu sama sekali tidak menyangka perkongsian tersebut mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Saya membuat posting pada tengah hari Selasa, kira-kira dua jam selepas itu ia diulang kicau melebihi 2,000 kali. Memang terkejut sebab tak sangka.

“Pada mulanya tak nak buat sebab rasa segan pula nak pakai baju kelawar mak. Tapi ramai dah mula PM (mesej) termasuk kawan-kawan menghantar mesej di WhatsApp. 

“Tapi sebab saya dah janji, jadi saya sahut cabaran tu. Tengah hari saya buat posting challenge, malamnya saya terus pakai baju kelawar,” katanya kepada mStar.

Afiq memakai baju kelawar, bedak sejuk dan anak tudung milik ibunya.

Afiq yang menetap di Taiping, Perak berkata, ibunya pada awalnya mentertawakannya disebabkan cabaran memakai baju kelawar tersebut.

“Mak hanya gelakkan saya pasal cabaran tu. Mujur, mak OK siap carikan baju kelawar untuk saya. Tapi, sebab badan saya sado, jadi susah nak cari yang muat dengan badan saya.

“Masa tu saya dah fikir kalau tak ada juga baju kelawar mak muat, saya terpaksa pakai baju kurung mak sebab lebih besar dan longgar. Nasib baik mak dapat jumpa sehelai baju kelawar yang muat,” ujarnya secara berseloroh.

Afiq tidak menyangka postingnya mengenai cabaran memakai baju kelawar mendapat sambutan.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, ibunya turut mencadangkan supaya memakai bedak di muka dan anak tudung bagi menampilkan kelainan.

Mak ok siap carikan baju kelawar untuk saya. Tapi, sebab badan saya sado, jadi susah nak cari yang muat dengan badan saya.

AFIQ

“Mak kata bedak sejuk dan anak tudung nampak sesuai bila dipadankan dengan baju kelawar, macam mak-mak. Saya layankan saja, mana berani nak lawan mak,” tambahya.

Afiq bersama ibunya.

Namun Afiq yang kini menyambung pengajian Diploma Sains di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Tapah, Perak berkata, dia hanya memakai baju kelawar, bedak sejuk dan anak tudung untuk rakaman foto semata-mata dan tidak dipakai semasa tidur.

“Cukuplah untuk pakai sebab sahut cabaran di Twitter. Lepas ni serik jugalah kalau nak buat cabaran lagi kecuali ada yang menarik yang bersesuaian.

“Memang tak sangka netizen ni... kalau dia tahu kita cabar diri, memang mereka sanggup retweet sebab nak saya kotakan janji. Sekarang, bukan setakat saya pakai baju kelawar, siap pakej ada bedak sejuk dan anak tudung,” katanya sambil ketawa.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain