suria

Guru PJ migrain baju murid macam ‘belacan’ akhirnya jadi tukang cuci! Murid kata mak dah basuh tapi…

Cikgu Farrah mencuci sendiri pakaian anak muridnya itu dirumah.

DEK kerana tidak tahan melihat anak muridnya sering berpakaian kotor ke sekolah, seorang guru di sebuah sekolah rendah di daerah Kota Setar, Kedah bertindak membasuh sendiri pakaian seragam kanak-kanak itu.

Perkara itu diceritakan Farrah Norashikin Juhari, guru kelas murid perempuan itu di Facebooknya baru-baru ini dan mendapat perhatian netizen.

Menurut guru berusia 37 tahun itu, dia kerap kali menegur keadaaan baju murid darjah dua itu tetapi masih tiada perubahan.

"Saya tegur dah lama. Tapi saya rasa baju tu tetap seperti tidak berbasuh sebab kesan kotor tu masih sama di bahagian dada dan perut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sekarang darjah 3 memang dia tak rasa malu” - Guru sebak murid jalan seret kaki, pakai seluar besar ‘bekas’ abang

ARTIKEL BERKAITAN: “Anak-anak saya faham keluarga mereka susah” - Bapa murid pakai kasut, seluar besar ke sekolah

"Saya rasa bukan seminggu dah tak basuh. Memang banyak minggu dah. Bila saya tanya dia jawab mak basuh tapi cara dia jawab tu macam cover-cover," katanya.

Baju itu direndam selama dua hari sebelum dicuci sehingga bersih.

Jelas guru subjek Pendidikan Jasmani itu, dia membasuh baju sekolah muridnya itu dengan harapan tindakannya itu disedari ibu anak didiknya.

"Saya cuci sebab saya rasa kesian dekat dia. Saya tengok dia pakai macam tu pun saya sakit kepala. Saya jadi migrain.

"Ya Allah macam mana keadaan dia bila pakai baju tu. Tentu rasa tak selesa. Lagipun saya geram nak tonyoh keluar daki pada baju tu.

"Saya rendam dan tonyoh-tonyoh sampai keluar daki. Kemudian saya serahkan pada budak tu siap seterika sekali. Saya tak nak aibkan sesiapa tetapi biarlah mak dia tahu sendiri," katanya.

Saya bukan nak tunjuk saya bagus. Saya cuma lakukan atas tanggungjawab sebagai seorang guru. Lagipun saya guru kelasnya dan rasa tak seronok pula bila dia asyik kena tegur dengan cikgu lain.

FARRAH NORASHIKIN JUHARI.

Meskipun ada netizen yang kurang bersetuju dengan tindakan tersebut, Farrah berkata dia berbuat demikian bukan untuk menunjuk-nunjuk dan mengaibkan ibu bapa pelajar itu.

"Saya bukan nak tunjuk saya bagus. Saya cuma lakukan atas tanggungjawab sebagai seorang guru. Lagipun saya guru kelasnya dan rasa tak seronok pula bila dia asyik kena tegur dengan cikgu lain.

"Lagipun saya tak aibkan sesiapa kerana teguran itu saya buat secara berlapik. Saya juga mahu perkara ini dijadikan pengajaran kepada ibu bapa lain mengenai betapa pentingnya menjaga penampilan anak-anak," katanya.

Keadaan baju dan tudung yang sudah bersih.

Pada masa sama, Farrah yang berasal dari Kedah mendedahkan ramai rakannya di sekolah sama tidak bersetuju dengan tindakannya membawa pulang baju kotor itu untuk dicuci di rumah.

"Kebetulan ada satu hari tu ada cikgu bagi dia baju pakaian seragam baru yang diwakafkan majlis agama Islam negeri untuk murid kurang berkemampuan.

"Dia tukar dan saya tak perasaan. Tapi dia tinggalkan baju tu dan saya ambil bubuh dalam plastik. Cikgu lain marah larang saya bawa balik. Depa (mereka) kata tak payah nanti manjakan.

"Saya pun macam kecil hati juga. Ya Allah tolonglah faham tapi saya tetap ambil senyap-senyap bawa balik," katanya.

Sejak insiden itu, Farrah berkata kanak-kanak itu menunjukkan sedikit perubahan semasa di dalam kelas.

"Bila dah tegur tu nampaklah riak muka dia rasa macam segan. Agaknya dia pun malu bagi pihak mak dia.

"Sejak dari itu juga dia rasa dekat dengan diri saya. Kalau dulu dia suka bersembang dekat kelas tapi sekarang dia dah tak buat begitu sebab dia tahu cikgu akan marah," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
baju sekolah, kotor, Cikgu Farrah

Artikel Lain