suria

Dah nak kahwin baru tahu diri anak angkat, esoknya Ayun menangis tanpa henti - “Memang rasa down dan janggal”

Ayun (gambar kecil) akan terus menjaga terus menjaga mamannya walaupun sedari dia merupakan anak angkat.

"MAMA rasa berat... kalau tak cakap dosa," luah seorang ibu kepada anaknya sebelum meraung kesedihan.

Ahad lalu menjadi tarikh yang tidak akan dilupakan buat gadis berusia 23 tahun, Nurul Azwin apabila gelaran anak angkat menjadi miliknya. Malahan, tidak pernah terdetik di hati, orang tuanya itu bukan ibu bapa kandungnya.

Nurul Azwin atau lebih mesra disapa Ayun berkongsi detik sedihnya itu bersama mStar saat wanita berusia 67 tahun, Kamaliah Atan yang dipanggil mama, mendedahkan status sebenar Ayun.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak tahan rindu selepas terpisah 8 bulan, siswa ukir nama ibu ayah atas salji “Macam pegang ABC je”

ARTIKEL BERKAITAN: “Tipulah kalau tak sedih perginya dua nyawa saya” - Ibu kandung

Jelas Ayun, hujung tahun ini dia bakal melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan yang juga rakannya sejak kecil.

"Sejak sebulan lalu saya memang nampak wajah mama agak risau dan ada sahaja yang tidak kena di matanya. Saya ada juga tanya kenapa, tapi mama tak beritahu apa-apa.

Ayun tetap menanggap mamanya sebagai ibu kandung sendiri.

"Sehingga minggu lalu kami pergi ke Jabatan Agama Islam untuk dokumen dan urusan perkahwinan. Ketika itu, teman lelaki saya juga ada bersama.

"Mama ada cakap kepada teman lelaki saya, jangan sia-siakan anak mama. Dan saya makin pelik dengan sikap mama itu.

"Pada sebelah malam pula, ketika itu saya sedang berehat, tiba-tiba mama cakap, kau tak tahu apa dalam kepala mama ni. Mama rasa berat, kalau tak cakap...dosa.

"Selepas mama cakap ayat itu, mama terus meraung menangis sedih. Saya terus peluk dia.

Kami sudah bersetuju untuk menjaga mama. Saya tidak akan tinggalkan mama. Saya sayangkan dia. Lagipun mama sudah tua, kalau bukan saya siapa lagi yang akan jaga dia.

NURUL AZWIN

"Dan ketika itulah mama cakap saya bukan anak kandungnya. Saya anak angkat," ujar Ayun.

Menurut Ayun, dia terkejut namun memang sudah menjangkakan apa yang keluar dari mulut mamanya ini.

"Saya langsung tidak menangis ketika itu. Cuma terkejut dan terus pujuk mama. Sebenarnya saya tidak tahu pun perkara ini, cuma sebelum ini ada beberapa hint yang mama ada cakap, macam sepupu  kamu pun anak angkat juga.

"Masa sekolah rendah dulu saya pernah nampak di surat beranak saya dilahirkan di sebuah hospital tetapi satu lagi surat beranak dilahirkan di klinik.

"Cuma malam itu saya tidak boleh menangis walaupun sedih sangat, tapi keesokan harinya, saya menangis tak berhenti-henti. Memang rasa down dan janggal," katanya yang kini sudah bekerja di sebuah syarikat swasta.

Status Ayun yang menarik perhatian warga Twitter.

Ayun memberitahu, beberapa hari kemudian selepas dimaklumkan mengenai statusnya itu, dia menangis dan berada dalam kesedihan.

"Saya cakap kat mama rasa macam janggal dan ia buatkan dia marah dan sedih. Selepas itu saya terfikir kenapa perlu janggal dan sedih kerana dari bayi sehingga sekarang mama jaga saya seperti anak kandungnya.

"Apa sahaja keperluan saya mama uruskan sehingga tamat pengajian di sebuah kolej. Mama jaga saya baik selama ini," katanya.

Kata Ayun, teman lelakinya yang tahu mengenai statusnya sebagai anak angkat turut memberi sokongan, malahan bakal ibu bapa mentuannya juga tidak kisah kerana bagi mereka mama telah lalukan yang terbaik untuk Ayun.

"Saya dan teman lelaki akan bertunang pada Aildiladha nanti dan berkahwin hujung tahun ini.

"Kami sudah bersetuju untuk menjaga mama. Saya tidak akan tinggalkan mama kerana sayangkan dia. Lagipun mama dah tua, kalau bukan saya siapa lagi yang akan jaga dia.

"Saya bersyukur kerana mamalah yang menjaga saya seorang diri selama ini selepas daddy, Saberan Sakemi meninggal dunia ketika saya berusia dua tahun," katanya yang mempunyai seorang abang yang sudah berkahwin dan tinggal berasingan.

Sebahagian komen-komen positif netizen terhadap status Ayun.

Kongsi Ayun, dia hanya tahu sedikit sahaja mengenai kisah ibu bapa kandungnya yang menyerahkan dia kepada Kamaliah dan Saberan pada 1996 ketika dia masih bayi. 

"Saya anggap mereka memang tidak mahukan saya, jadi hidup saya untuk mama dan keluarga sekarang ini sahaja" katanya.

Ayun turut memuat naik status sedih itu di Twitternya dengan ringkas dan penuh bermakna. "Salam. Ada sesiapa nak bagi kata-kata semangat? Mama baru jujur aku ni bukan anak kandung dia."

Status itu mendapat lebih 12,000 ulang kicau serta perhatian dari warganet dan rata-rata turut memberi semangat kepada Ayun.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Anak angkat, mama, Ayun

Artikel Lain