suria

“Saya rasa tak sedap hati” - Pelanggan selekeh hulur ‘duit tebal’ beli nasi lemak selepas 3 minit lihat menu... awal pagi penjual dah ‘terbang’ RM45.50

Seorang gadis yang menjual nasi lemak bersama ibunya menerima duit palsu daripada pelangga

SEORANG gadis tidak menyangka dia dan ibunya yang perlu bangun pagi untuk membuka gerai nasi lemak di tepi jalan sebelum matahari terbit, ditimpa dengan ujian.

Gerai mereka didatangi seorang pelanggan yang memberikan wang palsu untuk membeli nasi lemak, kurang sejam selepas beroperasi di Klebang, Melaka pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rezeki dia datang seorang, ingatkan nak buat kejutan sudahnya jadi sampah”... Kerana syiling dalam sampul, budak ‘melepas’ duit raya RM10

ARTIKEL BERKAITAN: Pengusaha Nasi Lemak Pondan Buang Bulu Mata Palsu, Pemerah Pipi

ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa Nasi Lemak Ini Merah Jambu?

Nurul Anis Md Noor memberitahu, gerai mereka didatangi seorang pelanggan lelaki yang menunggang motosikal dan berpenampilan selekeh pada pukul 7.30 pagi.

Gerai nasi lemak di tepi jalan yang diusahakan Anis bersama ibunya di Klebang, Melaka. Foto ihsan Nurul Anis Md Noor

Gadis berusia 18 tahun itu berkata, dia dan ibunya bagaimanapun tidak memandang rendah terhadap lelaki itu dan melayannya seperti pelanggan-pelanggan lain.

“Rambutnya kusut masai dan mukanya ada comot sikit. Baju t-shirt dan seluar jeans yang dia pakai pun ada kesan kotor macam kerja di tapak pembinaan.

“Pemuda tempatan itu berusia lingkungan 25 tahun, badannya kurus dan pertuturannya kurang jelas. Lebih banyak mendiamkan diri,” katanya kepada mStar.

Seorang pelanggan membeli tiga nasi lemak bungkus pada awal pagi. Gambar sekadar biasan. Foto ART CHEN

Lebih mesra dengan panggilan Anis, dia berkata pelanggan itu yang mendiamkan diri hanya bersuara selepas hampir tiga minit melihat menu pada papan tanda di gerai yang diusahakan ibunya sejak lima tahun lalu.

“Dia tak turun dari skuter merah jambu dan mahu membeli tiga nasi lemak. Masa tu cuma ada dia seorang di gerai, selain saya dan mak saya.

“Dah siap bungkus, dia pun hulurkan duit RM50. Awal-awal pagi lagi kami dah terima duit sebesar itu. Bila ditanya duit kecil, katanya tak ada,” ujarnya yang turut menjual makanan lain seperti mi goreng, bihun goreng, lontong, pulut kuning dan kuih-muih.

Namun, apa yang menghairankan apabila wang kertas RM50 itu dirasakan lebih tebal berbanding kebiasaannya, tetapi menyangka ia mungkin wang kertas baharu.

Wang kertas RM50 yang diterima Anis daripada pelanggan merupakan wang palsu.

Harga tiga nasi lemak bungkus adalah RM4.50, dan baki yang dipulangkan adalah RM45.50, sebelum pelanggan lelaki itu beredar dengan menaiki motosikal.

“Lepas dia pergi, ada pelanggan lain datang beli nasi lemak. Kira-kira 10 minit lepas tu saya rasa tak sedap hati untuk periksa duit tu sebab tebalnya lain macam.

“Bila dipegang-pegang, saya rasa macam ada dua helaian kertas sebelum nampak ada kesan putih di sebaliknya. Bila dikoyak tepi bahagian dua kertas tu, memang sah ia wang palsu... dua kertas yang ditampal menjadi satu,” tambahnya.

Dah siap bungkus, dia pun hulurkan duit RM50. Awal-awal pagi lagi kami dah terima duit sebesar itu. Bila ditanya duit kecil, katanya tak ada

ANIS

Anis yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu terkejut dan berang akibat ditipu dan memaklumkan mengenai wang palsu tersebut kepada ibunya.

“Tak sangka dia berani buat jahat di kawasan yang sibuk dengan orang lalu-lalang. Mak yang dapat tahu pasal kena tipu cuma cakap tak ada rezeki dan kena bersabar.

“Dia bukan saja tipu beli nasi lemak tiga bungkus, tapi kami siap bagi baki kerana wang palsu RM50 yang diberikannya,” katanya.

Nurul Anis Md Noor. Foto ihsan Nurul Anis Md Noor

Anis berkata, dia perlu berbincang dengan ibunya sekiranya membuat laporan polis berhubung kejadian, dan akan lebih berwaspada pada masa akan datang bagi mengelakkan kejadian berulang.

“Lepas ni kena tengok dan rasa betul-betul duit kertas kalau nilainya besar. Kami juga akan mengambil perhatian kalau ada pelanggan yang mencurigakan.

“Kami menganggap penipuan itu sebagai dugaan orang berniaga. Semoga si penipu mendapat pengajarannya atau datang kepada kami memohon maaf kepada kami sekiranya menyedari kesilapannya,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
nasi lemak, penipu, wang palsu, RM50

Artikel Lain