suria

“Cutenya… ayam pun tumpang gembira” - Gadis terima hantaran unik dapat kejutan!

Ayu kini bergelar tunangan orang, dengan salah satu hantaran berupa ayam KFC.

GARA-gara sebuah majlis pertunangan dikejutkan dengan hantaran unik sekotak bucket  ayam KFC, restoran makanan segera popular itu berkongsi berita gembira dengan menyampaikan ucapan tahniah.

“Wow! Kami pun tumpang gembira dengan berita baik ini! Tahniah untuk korang berdua, semoga semuanya berjalan lancar hingga ke jenjang pelamin,” menurut perkongsian di laman sosial Twitter rasmi pada Selasa malam.

Tanda pagar yang disertakan bersama posting tersebut, #AyamHappyForYou melucukan dan disifatkan sebagai kreatif.

ARTIKEL BERKAITAN: Hantu ayam’ dapat KFC sebagai hantaran, baju bertunang tak sempat tukar terus ‘ngap’ 2 ketul paha

Gadis yang lebih mesra dengan panggilan Ayu itu kemudian membalas perkongsian KFC tersebut yang dianggapnya comel.

Ucapan tahniah daripada KFC buat Ayu dan pasangannya.

“Cutenya ayam pun gembira untuk kami. Terima kasih!,” katanya.

“Apa lagi KFC, taja lah ayam untuk mereka,” menurut komen salah seorang netizen.

Terdahulu, mStar melaporkan mengenai seorang gadis yang bertuah kerana ayam yang menjadi kesukaannya menjadi pilihan dalam senarai barangan hantaran.

“Sebab aku suka sangat ayam goreng! So, ya untung dapat tunang yang memahami hahaha semua orang gelak sebab KFC jadi hantaran,” kata gadis itu menerusi perkongsian di laman sosial Twitter @ayuyuyuyuu sehingga menjadi tular.

Ayu atau nama sebenarnya Mas Idayu Nanyan, 24, mengikat tali pertunangan bersama pemuda berusia 27 tahun, Abdul Fakih Akta di kediaman keluarganya di Kuala Lumpur, awal bulan ini.

Perkongsian Ayu mengenai hantaran ayam KFC menjadi tular.

Menurut Ayu, dia amat menyukai ayam dan merupakan pelanggan setia restoran makanan segera itu dan sejak awal perkenalan, kedua-dua mereka sering menikmati hidangan berasaskan ayam semasa keluar bersama.

“Saya ni memang ‘hantu’ ayam, segala-galanya pasal ayam saya makan. Dating pertama kami makan burger ayam, dan lepas tu bermacam-macam lagi jenis ayam seperti ayam penyet, nasi ayam termasuk ayam KFC,” ujarnya.

Mengimbas kembali majlis pertunangannya, Ayu yang bekerja sebagai kerani berasa gemuruh dan perasaan itu lenyap sebaik ke ruang tamu untuk sesi menyarung cincin.

Hantaran pada majlis pertunangan Ayu dan jejaka pilihannya.

“Habis je majlis bertunang dan keluarga lelaki dah balik, saya cepat-cepat angkut semua hantaran dan susun kat dalam bilik.

“Baju tunang tak sempat tukar, kotak bucket ayam KFC tu saya bawa terus ke dapur dan 'rasmikan' dulu. Selesai dua ketul paha sebelum dikongsikan bersama ahli keluarga lain,” katanya secara berseloroh.

Walaupun ia hanya ayam KFC bagi segelintir orang, tetapi Ayu lebih melihat ia sebagai satu pemberian yang amat bermakna kerana mempunyai nilai sentimental.

“Bagi saya, hantaran ni tak perlu mahal tapi yang lebih penting ada nilai tersendiri kepada setiap individu. Saya suka sangat kejutan ni dan amat menghargainya,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
KFC, ayam goreng, hantaran, Ayu

Artikel Lain