suria

Pernah bergelut habiskan nasi lemak demi sara 7 adik, gadis ini tak lokek kongsi cara masak sambal paru yang ‘sumpah win’

Mimi membantu ibunya berniaga di bawah flat kediaman mereka.

JATUH bangun lumrah dalam perniagaan. Bagi sesiapa yang tidak tahan dengan ujian hebat ini pasti menyerah kalah dan memilih kerja makan gaji.

Namun berbeza dengan gadis ini yang tetap bersemangat membantu ibunya berniaga nasi lemak di Flat Sri Kota Bandar Tun Razak, Cheras walaupun pernah berdepan situasi turun naik dalam perniagaan yang diusahakan sejak sembilan tahun lalu.

Menurut Noryusra Shamimi Abdullah, dia pernah berputus-asa disebabkan jualan nasi lemaknya kurang mendapat sambutan beberapa bulan lalu.

"Pernah mak masak dua kilo nasi lemak tapi tak jual habis. Ada dua tiga orang je yang beli. Macam mana nasi tu saya bawa turun ke bawah blok macam tu jugalah saya bawa naik balik.

"Waktu tu rasa rugi sangat. Saya pun rasa hampir jatuh dan terfikir nak berhenti berniaga sebab jualan tak dapat balik modal.

Mimi (kanan) bersama ibunya.

"Sampaikan adik nak pergi sekolah pun tak ada duit belanja. Jadi mak terpaksa buat nasi goreng setiap pagi. Asalkan mereka makan nasi cukuplah," katanya ketika dihubungi mStar.

Bagaimanapun anak sulung daripada lapan beradik itu berkata dia terpaksa membatalkan niat itu disebabkan kata-kata semangat ibunya, Noraini Mohammad Tajudin.

"Mak saya kata tak apa... kita berniaga ni ada jatuh bangun, mesti ada rugi. Bila mak selalu cakap macam tu saya tersentak.

"Mungkin Allah nak uji saya. Alhamdulillah berkat usaha dan reda serta pertolongan kawan-kawan, sekarang banyak order dah masuk. Alhamdulillah saya bersyukur sangat-sangat," katanya.

Kisah Noryusra Shamimi atau lebih mesra disapa Mimi dikongsi rakannya, Eryn di Twitter sehingga mendapat perhatian netizen.

Posting yang dimuat naik Eryn dengan pada Jumaat lalu mendapat 3,900 ulang kicau dan 1,400 tanda suka di Twitter.

Kapsyennya berbunyi 'Aku harap sangat dengan kuasa viral dan jasa baik korang dapat bantu kawan aku. Kawan aku bukan orang senang, dia anak sulung yang tanggung adik-beradik lapan orang. Sementara tunggu kerja baru dia niaga nasi lemak. Nasi lemak dia memang sedap, lauk paru dia sumpah win!

Posting mengenai Nasi Lemak KakYong yang diusahakan Mimi dan ibunya menjadi tular selepas dikongsi rakannya bernama Eryn.

Jelas Mimi, dia terpaksa membantu ibunya menyara mereka sekeluarga memandangkan ayahnya Zamri Ariffin mempunyai masalah kesihatan.

"Dulu ayah kerja bawa lori ais. Tapi dia dah berhenti kerja tiga tahun lepas sebab sakit gout jadi susah dia nak memandu.

"Jadi saya cakap tak payah kerja biar saya cari duit. Kadang-kadang kalau dia sihat dia bantu juga berniaga dekat bawah blok rumah.

Mak saya kata tak apa... kita berniaga ni ada jatuh bangun dia, mesti ada rugi. Bila mak selalu cakap macam tu saya tersentak.

NORYUSRA SHAMIMI ABDULLAH

"Saya siang kerja di taska dekat dengan rumah. Saya habis kerja pukul 6 petang, lepas tu saya tolong pula ibu berniaga. Selalunya saya yang akan buat delivery sekitar Bandar Tun Razak," katanya.

Gadis berusia 20 tahun itu berkata sejak kisahnya tular, perniagaan nasi lemak ibunya yang diberi nama 'Nasi Lemak Kak Yong' semakin mendapat sambutan.

"Kalau sebelum ini saya berniaga dekat bawah blok sahaja dan hanya orang dekat sini je yang tahu. Tapi sekarang empat kilogram senang nak habis dan dapatlah RM80 sehari.

Nasi lemak paru menjadi kegemaran pembeli.

"Sekarang ibu naikkan sekilo lagi nasi lemak sebab permintaan dah banyak. Orang paling tertarik dengan lauk paru sebab lain daripada yang lain.

"Ibu selalunya akan goreng dulu paru tu dan biarkan sejuk kemudian barulah dia masukkan sambal. Sebab tulah paru tu masih rangup," katanya.

Dalam pada itu, Mimi berkata dia juga berharap agar dapat membantu ibunya membuka sebuah restoran suatu hari nanti.

"Saya harap perniagaan ni naik agar saya dapat bantu mak buka restoran sebab itu impian dia. Malah itu juga satu cara untuk bantu keluarga saya.

"Bagi mereka yang mahu membuat tempahan untuk majlis tertentu bolehlah hubungi saya di talian 01121870522," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain