suria

Baru 2 hari masuk UiTM, remaja ini terima berita duka dari kampung... jam tangan hadiah terakhir abah buat Ija

Ija bersama arwah bapanya yang berusaha menghantarnya untuk melanjutkan pelajaran buat kali pertama di UiTM jengka, Pahang baru-baru ini.

KEHILANGAN insan tersayang sangat terkesan di hati lebih-lebih lagi ketika berjauhan.

Segala-galanya berlaku selepas dihantar oleh bapa tercinta untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang.

Ketika itu, bermulalah perjalanan hidup Siti Khadijah Ismail yang terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Dua hari berada di kampus, remaja ini terima berita duka pada pagi Selasa lalu mengenai bapa kesayangannya yang telah dijemput ilahi.

Terkejut dengan perkhabaran itu, Siti Khadijah yang mesra disapa Ija terus bergegas pulang ke Rawang.

Ija ketika dihubungi mStar berkata, bapanya, Allahyarham Ismail Mat Nor, 47, menghembuskan nafas terakhir pada 23 Julai lalu akibat kegagalan buah pinggang yang dihidapinya sejak September 2017.

"Abah seorang yang sangat kuat dan rajin cari rezeki untuk kami sekeluarga tetapi selepas jatuh sakit dia terpaksa berhenti kerja dan berulang alik ke di Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

"Sejak itu juga, dua kakak saya sanggup berkorban menjaga abah sehingga hari terakhirnya, kami sekeluarga pun selalu bersama-sama bantu.

"Waktu saya masuk UiTM, 21 Julai, abah teruja nak hantar walaupun sakit, dia siap belikan jam tangan untuk saya sebelum sambung belajar," ujar anak ketiga daripada lima beradik ini.

Ija yang menerima tawaran pengajian peringkat Diploma Sains tidak sangka pemberian jam tersebut adalah yang terakhir daripada bapanya.

Jam tangan pemberian arwah bapa Ija.

Allahyarham Ismail Mat Noor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Garing, Rawang.

Gadis berusia 18 tahun ini turut berkongsi pengalamannya ketika saat-saat akhir bersama arwah bapanya yang sehingga kini masih segar di ingatannya.

"Sebelum abah pergi, dia suka pakai baju t-shirt mak dan minta saya buatkan satu video kenangan khas untuknya.. Jadi saya buatkan satu video itu sebelum masuk UiTM.

"Bukan itu sahaja, abah paksa semua adik beradik ikut hantar saya ke Jengka walaupun ada yang sibuk.

Ija bersama bersama ahli keluarganya termasuk bapanya (tengah) dua hari sebelum meninggal dunia.


"Arwah abah ada juga bagitahu impian dia nak tengok dua kakak saya menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dan Alhamdulillah, abah sempat tengok," katanya.

Ketika ini, dua kakak Ija telah mulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan membuat servis tempahan menjahit baju dan tudung.

Luahan yang dikongsi Ija mengenai kehilangan bapanya menerusi posting di Twitter begitu menyentuh emosi sehingga meraih 14,200 ulang kicau dan 18,500 tanda suka.

Netizen memberi kata semangat dan ucapan takziah kepada Ija sekeluarga.

Posting tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan rata-ratanya mendoakan yang terbaik buat Ija sekeluarga.

"Niat saya buat posting di Twitter bagi semua orang di luar sana untuk lebih hargai bapa mereka sementara masih ada.

"Saya juga nak ucapkan terima kasih pada semua yang mendoakan, memberi nasihat dan menyampaikan salam takziah kepada saya sekeluarga," katanya.


Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Ija, UiTM, Jengka, buah pinggang

Artikel Lain