suria

Rakan lain sibuk tunjuk ‘skill’ lompat, lelaki baju pink juga yang diintai gadis kerana ada ciri ‘husband material’, “Saya segan sebenarnya...”

Adam (kiri) mencuri tumpuan selepas video rakan-rakannya melompat kerusi menjadi tular. Foto ihsan Muhammad Adam Imran Mohd Kabul

SEORANG pemuda mencuri tumpuan selepas video sekumpulan remaja lelaki bermain ‘lompat kerusi’ di dalam kelas, tular di media sosial.

Dalam keriuhan anak-anak muda itu menyahut cabaran melompat kerusi-kerusi yang disusun tinggi, dapat dilihat pemuda berkenaan yang berbaju merah jambu tekun menyapu lantai.

Rata-rata netizen terutama gadis-gadis tertumpu kepada pemuda tersebut sehingga melabelkannya ‘lelaki pilihan’ atau husband material, kerana kerajinan dan sifatnya yang pembersih, salah satu kriteria untuk dijadikan sebagai suami. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu kekasih hantar mesej salam subuh, bro ni tak gelabah siap balas on time, “Jangan ingat anak bujang tak rajin bangun pagi”

ARTIKEL BERKAITAN: Nasib ‘hot daddy’, keluar dengan anak sendiri, ‘makcik bawang’ kata curang!

“Yang baju pink (merah jambu) tu dah ada girlfriend? Auntie ada anak dara seorang. She is real smart and real pretty too!,” ujar seorang netizen.

Gelagat Adam menyapu lantai di kelas.

“Baju pink – suami pilihan. Habislah semua girl cari kau,” kata seorang netizen.

“Baju pink tu single lagi ke belum sebab I single lagi ni,” ujar netizen yang lain.

“Hi to lelaki baju pink, saya tak kisah awak hodoh ke kacak. Saya nak awak boleh? Kita boleh sapu sampah sama-sama bila dah kahwin nanti,” gurau seorang netizen.

Lelaki berbaju merah jambu itu merupakan pelajar berusia 17 tahun di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Adam tidak menyangka video yang merakamkannya menyapu lantai menjadi tular.

Muhammad Adam Imran Mohd Kabul berkata, dia tidak menyangka video lompat kerusi melibatkan rakan-rakannya yang dirakam menjelang tamat sesi mengulangkaji pelajaran menjadi tular.

“Sayalah lelaki berbaju pink itu. Sebab sesi belajar nak tamat dan lantai kelas nampak bersepah, jadi saya ambil inisiatif untuk menyapu lantai. 

“Kerusi-kerusi yang ‘tinggi’ tu saya yang susun untuk mudah sapu satu kelas. Saya ada juga ambil kesempatan lompat atas kerusi tu selepas selesai menyapu, tapi tak ada pula yang rekod pula,” katanya secara berseloroh kepada mStar.

Selain rajin mengemas, Adam juga beraksi di padang.

Adam yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini mengakui suka mengemas sama ada di asrama mahupun di rumahnya.

“Saya memang suka kemas, dari sapu ke mop lantai, termasuk memvakum. Kalau ada perabot-perabot yang berhabuk pun saya akan lap.

“Dalam dorm (bilik asrama) juga saya menyapu, tapi sebab kami beramai tidur dalam bilik, jadi tugas menyapu tu dibuat secara bergilir,” ujar anak jati Klang, Selangor itu.

Tak sangka saya tumpang viral orang lain. Saya anggap ia sebagai semangat untuk saya menduduki SPM tahun ini. Saya single lagi, nak fokus belajar dulu

ADAM

Siapa sangka di sebalik kerajinannya menyapu dan mengemas, anak sulung daripada dua beradik itu juga aktif bersukan terutama bola sepak.

Adam (berdiri, empat dari kanan) aktif bermain bola sepak.

Antara pencapaian pasukan yang disertainya adalah naib johan bagi peringkat daerah semasa belajar di tingkatan 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Permatang di Kuala Selangor, dan peringkat suku akhir sempena Karnival Antara Vokasional dan Teknik peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya memang aktif bersukan sejak tahun tiga. Selain futsal dan bola sepak, saya juga bermain sepak takraw.

“Saya buat jadual untuk waktu belajar dan bersukan. Secara purata, saya bersukan empat hari dalam seminggu,” katanya yang menjadikan penyerang muda kebangsaan, Akhyar Rashid dan bintang bola sepak dunia, Neymar sebagai idola.

Adam (dua, kanan) dan sebahagian rakan sepasukan Vipers FC.

Mengenai komen-komen netizen berhubung dirinya mempunyai ciri-ciri lelaki pilihan, Adam menyedari perkara tersebut tetapi tidak melihatnya sebagai sesuatu yang serius.

“Saya terkejut dan segan sebenarnya, jadi speechless (tak terkata). Apa yang boleh saya kata baju pink yang saya pakai tu sebenarnya jersi Vipers FC di SMTKL, bukannya saya suka sangat pakai baju pink.

“Tak sangka saya tumpang viral orang lain. Saya anggap ia sebagai semangat untuk saya menduduki SPM tahun ini. Saya single lagi, nak fokus belajar dulu,” katanya yang menyukai subjek lukisan kejuruteraan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Akhyar Rashid, Neymar, bola sepak, pink, SMTKL

Artikel Lain