suria

Foto tular jururawat baca Yasin dekat di hati pengarah filem Malaysia di Australia, sanggup tinggalkan Perth demi jaga ibu sakit strok

(gambar kiri) Foto seorang jururawat yang membaca surah Yasin untuk pesakitnya menjadi tular di media sosial. Foto sumber Facebook (gambar kanan) Rizal pulang ke tanah air bagi menjaga ibunya yang menghidap strok. Foto ihsan Rizal Halim

FOTO seorang jururawat yang khusyuk membaca surah Yasin kepada seorang pesakit di wad hospital mengundang sebak dalam kalangan netizen. 

“Nurse ni, sambil dia jalankan tugas, dia sedekahkan bacaan Yasin untuk pesakitnya. Yang ni tak ada ke yang nak viralkan?,” menurut posting di halaman Facebook Rizal Halim sehingga dikongsi lebih 1,900 kali.

Tanpa mengira siapa jururawat mahupun hubungannya dengan pesakit itu, rata-rata netizen memuji tindakan murninya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jururawat jadi perhatian selepas halang kenderaan, bantu mangsa kemalangan

“Baiknya dia. Harap kalau kita sakit macam tu ada orang boleh bacakan Yasin untuk kita juga,” komen seorang netizen.

“Biasa zaman sekarang realiti depan mata kalau ada kecelakaan ke tak pun dilanda musibah, masing-masing nak rakam guna telefon semata-mata nak jadi orang yang terawal sebarkan berita panas,” ujar seorang netizen lain.

“Tugas sebagai jururawat ni memang mulia, tak semua orang yang boleh lakukan,” katanya.

Perkongsian Rizal mengenai kemuliaan hati seorang jururawat menjadi tular.

Setakat ini, masih menjadi tanda-tanya siapakah jururawat yang membaca Yasin itu, dan berdasarkan semakan, gambar tersebut telah dimuat naik sebelum ini oleh pengguna Facebook, Darlila Razali.

Darlila berkata, gambar tersebut dimuat naiknya selepas ia dikongsikan oleh seorang netizen menerusi ruangan komen di sebuh grup Facebook, berkaitan dengan isu panas membabitkan jururawat dan seorang selebriti, awal tahun ini.

Bagaimanapun, gambar jururawat itu hanya tular selepas ia dikongsikan oleh Rizal Halim, pengarah filem dari Malaysia yang berpangkalan di Perth, Australia.

Komen-komen netizen mengenai jururawat yang berhati mulia.

Rizal yang merupakan pengarah Melayu tempatan pertama yang mengarah filem di Australia menerusi filem Lurking Woods pada 2015 berkata, dia memuat naik gambar tersebut kerana tindakan jururawat itu sesuatu yang baik dan dicontohi semua lapisan masyarakat.

“Kita jangan kira siapa jururawat tu atau apa hubungannya dengan pesakit tu, tapi apakah yang dia lakukan ketika itu. Itu yang lebih penting untuk semua orang tahu.

“Sejak kebelakangan ini, banyak kisah keburukan jururawat yang menjadi highlight, tapi bila mereka tunjuk kebaikan, tak ada pula yang ambil kisah. Yang buruk jadi viral, yang baik semua buat tak tahu,” katanya kepada mStar.

Gambar jururawat yang tular itu mewakili semua jururawat di Malaysia. Semoga budi baiknya dicontohi segala lapisan masyarakat tak kira apa jenis pekerjaan yang mereka lakukan

RIZAL

Pengarah filem berusia 48 tahun itu berkata, kisah jururawat itu mengingatkannya kepada ibunya yang dimasukkan hospital beberapa kali kerana penyakit strok.

Disebabkan ibunya terlantar di hospital kerana rebah akibat strok pada 2016, Rizal yang mengarahkan filem kedua, Tainted Getaway yang bakal dipertontonkan menerusi tayangan perdana di Australia pada tahun ini, mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air.

“Semasa saya di Perth, abang kedua saya yang jaga emak. Seminggu selepas abang kedua saya meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru, mak pula masuk hospital.

“Abang sulung dah berkeluarga dan saya pula tiada komitmen. Saya ketepikan tugas sementara waktu untuk jaga emak dan akan sambung semula mengikut keadaan. Apapun, keluarga perlu diutamakan,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Rizal pulang ke tanah air bagi menjaga ibunya yang sakit.

Sering kali melihat jururawat menjalankan tugas mereka di hospital termasuk membantu melancarkan urusan ibunya di wad, dan seperti gambar yang tular, wanita itu bukan sahaja mengambil berat keadaan fizikal pesakit tetapi juga kerohanian.

“Gambar jururawat yang tular itu mewakili semua jururawat di Malaysia. Saya doakan jururawat itu diberi keberkatan di dunia dan di akhirat oleh Allah SWT. 

“Semoga budi baiknya dicontohi segala lapisan masyarakat tak kira apa jenis pekerjaan yang mereka lakukan,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain