suria

Jual buah pinggang: Suami isteri tanggung hutang diminta ke cawangan PTPTN... “Kalau tak bincang kita tak tahu apa isu sebenarnya”

PTPTN tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan seorang lelaki yang tular kerana mahu menjual buah pinggangnya kerana dibebani banyak hutang termasuk pinjaman Ah Long dan PTPTN.

SEORANG bapa dua anak sebelum ini tular mahu menjual buah pinggangnya, dan nekad dengan keputusannya itu meskipun ada pihak yang cuba untuk membantu menyelesaikan hutang Ah Long.

Dakwanya, hutang Ah Long itu hanyalah sebahagian daripada masalah kewangannya, kerana selain hutang-hutang lain, isterinya juga tidak mampu membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

ARTIKEL BERKAITAN: “Pinjaman PTPTN isteri pun belum bayar” - Suami mahu jual buah pinggang stres dituduh main-main, hutang Ah Long hanya sebahagian masalah

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan derma, lelaki ini sebenarnya nak jual buah pinggang! Tiada MyKad nak mohon bantuan, “Tak kisah bayar berapa asalkan...”

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Perhubungan Awam dan Pengurusan Majlis Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Abdul Ghaffar Yusop berkata, pasangan suami isteri itu boleh berbincang di pejabat cawangan terdekat.

Seorang bapa dua anak tular di media sosial kerana mahu menjual buah pinggangnya kerana kesempitan wang.

“Kepada suami yang dikatakan nak jual buah pinggang tu, apa yang kita boleh sarankan adalah dia dan isterinya datang ke pejabat PTPTN terdekat, dan berbincang mengenai pinjaman PTPTN isterinya.

“Kita ada beberapa kelonggaran buat peminjam PTPTN iaitu penangguhan bayaran balik sehingga dua tahun. Malah, dia juga diberikan peluang untuk penangguhan pertama sehingga setahun selepas konvokesyen (tarikh pengijazahan).

“Lepas graduate, ada tempoh setahun dia tak perlu bayar (penangguhan). Lepas tempoh 12 bulan tu, ada lagi dua tahun sekiranya dia tidak bekerja. Jadi, ada tiga tahun penangguhan,” katanya kepada mStar.

Kaedah penstrukturan semula itu memberi kemudahan kepada peminjam untuk mengubah struktur Jadual Bayaran Balik (JBB) dan menetapkan ansuran bulanan berdasarkan kemampuan peminjam.

Melalui kaedah tersebut, tempoh bayaran balik boleh dipanjangkan sehingga peminjam mencapai umur 60 tahun.

Abdul Ghaffar Yusop. Foto Low Lay Phon

Abdul Ghaffar berkata, jumlah bayaran balik pinjaman juga boleh dikurangkan sehingga RM50 sebulan mengikut kemampuan peminjam berkenaan.

“Apapun, adalah lebih baik suami isteri itu datang ke pejabat terdekat PTPTN untuk berbincang. Kalau tak bincang, kita tak tahu apa isu sebenarnya.

“Kalau dia tinggal di Bukit Mertajam, Pulau Pinang... kita ada cawangan di Bukit Mertajam atau dia boleh pergi ke mana-mana cawangan PTPTN yang terdekat,” katanya yang merujuk kepada pejabat PTPTN cawangan Aeon Mall Bukit Mertajam.

Kalau dia hilang MyKad, takkan isteri dia pun hilang MyKad. Yang pinjam isteri, isterilah yang kena datang bincang untuk selesaikan masalah pinjaman PTPTN tu

ABDUL GHAFFAR

Menurut Abdul Ghaffar, masalah peminjam PTPTN juga boleh disalurkan kepada agensi-agensi berkaitan seperti pusat zakat, sambil menambah bahawa salah satu asnaf zakat adalah pendidikan dan kemiskinan.

“Macam mana sekalipun, hutang dia perlu bayar kecuali dia mendapat pengecualian tertentu seperti dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda kelas pertama oleh IPT (institusi pengajian tinggi).

“Mungkin juga ada cara-cara lain yang boleh kita lihat berdasarkan masalah yang dihadapi dan kedudukan kewangan mereka. Kalau betul-betul tak mampu, kita akan bantu salurkan ke agensi-agensi berkaitan seperti pusat zakat,” katanya.

Peminjam PTPTN boleh berjumpa dengan pihak PTPTN sekiranya mereka mengalami masalah untuk membuat bayaran balik.

Terdahulu, lelaki itu mendakwa dia kehilangan kad pengenalan (MyKad) buat kali ketiga dan tidak mempunyai wang untuk membuat gantian baharu, kerana bayaran hilang kali ketiga adalah kira-kira RM1,000.

Dia juga enggan mengulas lanjut mengenai latar belakang isterinya selain memberitahu isterinya tidak bekerja dan hanya membantunya berniaga ayam goreng.

Abdul Ghaffar bagaimanapun memberitahu, perkara tersebut tidak menjadi masalah kerana yang membuat pinjaman pendidikan dengan PTPTN adalah isterinya.

“Kalau dia hilang IC, takkan isteri dia pun hilang IC. Yang pinjam isteri, isterilah yang kena datang bincang untuk selesaikan masalah pinjaman PTPTN tu.

“Sebagai suami, dia boleh bawa isterinya untuk berjumpa dengan PTPTN untuk berbincang dan kami berusaha untuk bantu menangani masalahnya,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain