suria

Gigih buat 5 kerja sambilan dalam sehari, pelajar ini juga akui ‘tamak’ pointer, “Kampus tak besar, pusing-pusing akan nampak muka saya”

Afiqah tidak pernah mengabaikan kuliahnya walaupun sibuk bekerja sambilan. Malah dia juga merupakan atlet sukan silat dan taekwando.

MELAKUKAN kerja sambilan untuk menambah duit poket ketika bergelar pelajar bukanlah sesuatu yang baharu.

Tak kira di univerisiti awam atau swasta, sejak dahulu lagi ada pelajar yang menggunakan masa lapang mereka dengan melakukan pelbagai pekerjaan secara sambilan.

Tetapi apa yang menarik, seorang gadis berusia 21 tahun mampu menguruskan jadual hariannya yang padat apabila melakukan lebih dari satu kerja part time.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak dibenar kerja sambilan, penuntut IPT berjurai air mata terima 'karangan sayu' ayah

ARTIKEL BERKAITAN: Dipandang rendah kerana sarung uniform 'pak guard', kini pemuda ini sudah bergelar penganalisis IT

Pasti ramai tertanya-tanya bagaimana Nurul Kamalia Afiqah Kamaruzaman yang merupakan penuntut semester keempat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengatur jadual sehariannya dengan melakukan lima kerja sambilan.

Afiqah turut aktif dalam aktiviti sukarelawan siswa.

Nurul Kamalia Afiqah atau mesra disapa Afiqah berkata sejak semester satu lagi dia sudah mula melakukan kerja sambilan sepanjang mengikuti kursus Diploma Sains.

Berkongsi kisahnya, Afiqah memberitahu tujuan utama dia bekerja sambilan adalah untuk membantu meringankan beban keluarga.

"Sebenarnya kedua-dua ibu bapa saya tak tahu saya buat banyak kerja sambilan ketika belajar.

"Walaupun setiap hari kami saling berhubung dan mereka selalu tanya tentang 'study' tetapi saya tak pernah beritahu mereka kerana apa yang penting bagi saya adalah memastikan setiap keputusan semester dapat 'three pointer' ke atas.

"Jadi ayah dan ibu saya tak adalah syak apa-apa. Dan setiap kali mereka tanya saya ada duit belanja atau tidak, saya selalu cakap ada," kongsinya bersama mStar.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, sebelum ini kehidupan keluarganya agak senang memandangkan ibunya menguruskan sebuah perniagaan.

Walaupun sibuk bekerja saya tidak pernah abaikan kuliah. Untuk memastikan jadual harian lancar, saya akan siapkan setiap tugasan harian lebih awal atau 'assignment' sebelum 'deadline'.

NURUL KAMALIA AFIQAH

Pelajar, pekerja sambilan, atlet, sukarelawan

"Tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, perniagaan ibu merosot dan terpaksa ditutup jadi tanggungjawab mencari rezeki hanya dipikul abah seorang yang bekerja kerajaan," katanya.

Menurut Afiqah, sebelum mendaftar masuk pengajian dia ada terdengar perbualan antara dua orang tuanya tentang keadaan kewangan keluarga mereka yang mana bapanya turut bertanya kepada ibunya sama ada dia mengetahui masalah yang sedang dihadapi keluarga pada masa itu.

"Dari situ saya faham ekonomi keluarga tidak berada dalam keadaan baik. Jadi saya niat nak bantu keluarga dengan tidak menyusahkan mereka meminta duit perbelanjaan. Sekurang-kurangnya mereka boleh tumpukan belanja untuk adik-adik saya," katanya.

Afiqah berkata dia bekerja di lima tempat secara sambilan selepas habis kuliah setiap hari.

"Habis sahaja kelas saya akan bekerja di sebuah kafe berdekatan dengan kolej, selepas itu di kedai percetakan dan yang ketiga juga di kedai percetakan, lain lokasi.

Afiqah juga merupakan atlet silat di universitinya.

"Habis sahaja di situ, saya akan bergegas ke pejabat di kolej melakukan kerja-kerja 'filing' dan apa yang berkaitan dengannya... satu lagi pekerjaan sambilan saya di kiosk minuman," katanya.

Tidak cukup dengan itu, terbaharu Afiqah bakal menjadi barista di kedai kopi yang bakal dibuka di kawasan kampusnya.

Mengakui penat dengan rutin hariannya itu, pelajar kelahiran Terengganu ini bagaimanapun tidak pernah mengeluh dengan apa yang dilalui sekarang.

Setiap kerja sambilan itu mengambil masa paling minimum selama sejam dan maksimum enam jam.

"Semester ini saya 'target' nak dapatkan Anugerah Dekan. Sebelum ini keputusan saya dah hampir ke arah itu.

"Walaupun sibuk bekerja saya tidak pernah abaikan kuliah. Untuk memastikan jadual harian lancar, saya akan siapkan setiap tugasan harian lebih awal atau 'assignment' sebelum 'deadline'.

"Kalau 'assignmen't tu lambat lagi kena hantar, saya tetap siapkan awal. Kawan sekuliah memang sudah tahu dengan perangai saya yang sudah bekerja.

"Kampus ni bukanlah besar sangat. Pusing-pusing mereka akan nampak muka saya di mana-mana. Apa yang menarik rakan-rakan saya turut terjebak dengan kerja sambilan ini," katanya.

Bijak menguruskan masa membuatkan Afiqah mampu melakukan pelbagai kerja dalam satu hari.

Afiqah mengakui pengalaman bergelar pelajar amat perit khususnya keluarga yang tidak berduit, malah dia sendiri pernah hanya minum air kosong ketika lapar.

"Tetapi hati saya tetap yakin dengan Allah. Alhamdullilah selepas itu ada sahaja rezeki saya.

"Malah dengan rezeki ini jugalah saya dapat membantu adik saya yang sedang belajar di IPT serta belanja makan kawan-kawan lain yang 'poket kering'," jelas Afiqah.

Menurut Afiqah, sepanjang bekerja secara sambilan dia juga dapat membuat sedikit simpanan dan ada sebahagiannya dijadikan modal melakukan bisnes kecil-kecilan di kampus.

"Dalam tempoh dua minggu  saya boleh kumpul dalam RM500 untuk semua kerja yang saya buat. Saya simpan di ASB (Amanah Saham Bumiputera), saya kongsi dengan adik, dan sedikit saya akan guna untuk buat bisnes 'ais krim Malaysia'.

"Tetapi bisnes ni saya buat selang-seli kerana penat. Sebatang saya jual RM1 dan hasilnya itu saya buat belanja makan," katanya yang juga aktif dalam aktiviti sukarelawan.

Malah gadis ini juga merupakan atlet sukan silat dan juga taekwando mewakili universitinya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kerja sambilan, enam kerja, pelajar, IPT

Artikel Lain