suria

Isteri depresi sampai level nak bunuh diri, lelaki ini kongsi cabaran, “Kami sendiri terus-terang je, tak ada malu-malu”

Husna disahkan menghidap depresi sejak empat tahun lalu.

PENYAKIT depresi atau kemurungan pada hari ini sudah tidak mengenal usia. Sesiapa sahaja boleh terdedah kepada salah satu penyakit mental ini.

Sebut sahaja penyakit mental ramai menyamakan penyakit itu dengan kurang waras sehingga pesakit menderita dalam senyap kerana malu dengan stigma masyarakat mengenai perkara itu.

Namun seorang suami berkongsi kisah isterinya berjuang melawan depresi sejak empat tahun lalu di Facebooknya untuk membuka mata orang ramai mengenai penyakit tersebut.

Posting Wan Mohd Juaini Najmi Nawawi itu mendapat pelbagai respons netizen dan dikongsi sebanyak 23,000 kali di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru depresi sering menangis sebelum tidur, rasa hidup kosong akhirnya diselamatkan murid sendiri, “Ada syurga di kelasku”

ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka dedah pernah 'check in' Hospital Bahagia selepas kusut dengan 'awek', tiga kali putus cinta

Bapa kepada dua orang anak itu terpanggil untuk berkongsi kisah isterinya, Husna Nadhirah yang mengalami masalah depresi sejak empat tahun lalu kerana ramai beranggapan penyakit itu segaja dibuat-buat.

"Saya terpaksa suarakan mengenai perkara ini kerana ramai tak tahu... tak peduli dan anggap masalah ini bukan penyakit tetapi sengaja diada-adakan. Jadi saya tak nak timbul tanggapan seperti itu.

Posting Najmi mengenai kisah isterinya mengalami masalah depresi menjadi tular di Facebook.

"Penyakit ini sebenarnya bukan sengaja dibuat-buat. Penyakit itu juga bukan kemahuan sendiri pesakit tetapi ia berlaku kerana gangguan pada fungsi otak mereka.

"Jadi depresi bukan bahan untuk kita ketawa dan perlekehkan. Kita kena belajar untuk kenali tanda-tanda, matang dan bantu mana boleh kerana depresi boleh bersembunyi di sebalik senyuman," katanya.

Menurut perkongsian Wan Mohd Juaini Najmi atau lebih mesra disapa Najmi, isterinya disahkan mengalami depresi selepas bertemu pakar psikiatri di Hospital Sungai Buloh.

"Ya isteri aku, bidadari aku sendiri Cik Husna mempunyai depresi. Ini telah disahkan pakar psikiatri empat tahun lepas. Aku masih ingat pada waktu itu kami ke Hospital Sungai Buloh setelah mendapat refer letter dari klinik.

"Punca dapat surat refer itu pula ialah apabila doktor di klinik tanya soalan ini pada Husna. 'Husna ada rasa sampai macam nak bunuh diri ke?'. Dan isteri aku cakap - 'Ya, rasa dah tak mahu hidup'. Bagi aku ini ialah satu detik bersejarah dalam hidup kami," katanya.

Sebaik sahaja disahkan ada simptom depresi, Najmi terus membantu isterinya untuk pulih daripada masalah itu.

"Bila aku tahu isteri aku sudah ada perasaan untuk membunuh diri sendiri. Jadi kau fikir aku ada masa untuk main-main lagi? 

"Kau fikir aku ada masa untuk buat benda lain? Aku kena hadapi masalah ini, sebab yang kena ialah isteri aku. Dia amanah untuk aku, aku perlu bantu," katanya.

Husna masih lagi menerima rawatan bagi memulihkan penyakitnya itu.

Pemuda berusia 26 tahun itu pada mulanya tidak pasti sama ada tindakannya membawa isterinya ke bahagian psikiatri HSB suatu tindakan yang tepat.

"Kau tahu-tahu sahajalah ini ialah untuk pertama kalinya kami pergi masuk ke bahagian psikatari. Terdengar ada makcik menjerit-jerit bergaduh dengan nurse, ditambah lagi dengan ruang menunggu yang agak sempit memang buat kami tidak selesa.

"Ada juga yang bergaduh minta ubat lebih dan ada juga yang mengetuk-ngetuk meja. Macam bercampur dengan tempat orang gila. Waktu itu, ada juga terfikir. Betulkah tindakan kami ini. Rasa macam masuk ke tempat yang tidak sepatutnya.

"Saya pegang tangan isteri dan redah sahaja. Kami mahu juga tahu apa yang berlaku dan semestinya ingin mendapatkan rawatan terbaik. Rasa takut, rasa tidak selamat, rasa risau dan sebagainya semuanya mula menghantui lubuk perasaan," katanya.

Lebih mengejutkan selepas pertemuan dengan pakar psikiatri, Najmi mendedahkan isterinya turut diagnos dengan masalah kerisauan dan serangan panik.

"Inilah realiti yang perlu kami telan. Kini bermulanya bahagian yang susah iaitu fasa ujian. Kenapa aku sebut fasa ujian, sebab fasa inilah hubungan kami diuji. Fasa yang susah dan penat. Husna selalu rasa macam diri dia tidak berguna dan malang.

"Rasa macam semua orang benci. Rasa macam semua orang ambil kesempatan. Rasa macam tiada ada orang beri perhatian. Rasa macam tidak disayangi. Rasa baik diri mati sahaja. Ini semua ialah luahan yang diceritakan pada aku.

"Dan dari pemerhatian aku sendiri, diri dia umpama 'not being present'. Macam dia masih hidup dalam kisah lama, atau terlalu memikirkan tentang masa hadapan. Hingga the real world - the present yang ada depan dia ini macam kosong," katanya.

Komen netizen yang memberi respons kepada posting Najmi.

Namun Najmi bersyukur kerana ubat diberikan doktor banyak membantu menangani masalah dialami isterinya.

"Ubat yang doktor bagi ialah setraline. Kami rasa ubat ini umpama nyawa, kerana kalau tiada ubat ini pasti jiran-jiran akan dengar jeritan Husna marah dan menjerit-jerit atau menangis.

"Kerana pernah juga cuba stop makan ubat ini kerana rasa dah boleh baik. Namun ternyata ianya ialah pilihan yang silap. Jadi doktor juga bagi amaran jangan tinggalkan ubat ini lagi.

"Ubat ini akan buat kau rasa letih dan penat seterusnya mengurangkan rasa marah atau sedih melampau. Kau akan rasa mengantuk dan lebih suka untuk berehat," katanya.

Memang ada yang mengecam tapi biasalah orang tak faham. Macam keluarga kami ada yang kurang faham dengan masalah ini tetapi kami sendiri terus-terang je. Tak ada malu-malu.

WAN MOHD JUAINI NAJMI NAWAWI.

Pegawai perbankan.

Jelas Najmi lagi, isterinya akan berkelakuan di luar jangkaan sekiranya terkena serangan panik secara tiba-tiba.

"Pasti kau tidak percaya. Menjerit dan meraung? Itu perkara biasa. Pintu bilik pecah ditumbuk sekuat hati. Meronta macam hilang pertimbangan bahkan pernah juga cuba menikam aku dengan kunci. Tidak lawak. Aku boleh menangis fikirkan apa yang berlaku.

"Anak-anak? Pastinya terkesan. Macam aku ada dua orang anak, Alhamdulillah dua-dua perempuan yang comel. Seorang Maryam Deen dan adiknya ialah Aisyah Deen. Sejujurnya saya akui kami kuat dalam perjuangan ini kerana anak-anak," katanya.

Najmi berkata pengalaman tersebut banyak mengajarnya untuk lebih memahami isterinya dan cara-cara untuk berhadapan situasi tersebut.

Najmi tidak pernah menyembunyikan mengenai masalah depresi isterinya daripada pengetahuan ramai.

"Depresi bukan bahan untuk kau ketawa dan perlekehkan. Kau kena belajar untuk kenali tanda-tanda, matang dan bantu yang mana boleh kerana depresi boleh bersembunyi di sebalik senyuman.

"Kita tahu depresi ni majoriti terjadi kepada golongan wanita yakni isteri. Jadi sebagai suami kita kena kuat, kena belajar dan cari ilmu tentang depresi. Jangan takut... terima realiti dan tolong pasangan.

"Hakikatnya tak mudah memang struggle tapi kalau betul-betul sebab cinta sayang keluarga segalanya akan dipermudahkan. Jadi kita kena bantu pasangan, beri sokongan kepada mereka untuk melalui fasa getir ini," katanya.

Dalam pada itu pegawai perbankan itu turut menasihati mereka yang mengalami masalah depresi supaya tidak menyembunyikan masalah mereka daripada pengetahuan ramai.

"Memang ada yang mengecam tapi biasalah orang tak faham. Macam keluarga kami ada yang kurang faham dengan masalah ini tetapi kami sendiri terus-terang je. Tak ada malu-malu.

"Aku mengaku isteri ada masalah depresi. Awal-awal dulu memang susah orang nak faham sebab masalah tu satu benda baharu. Tapi sekarang Alhamdulillah mereka dah boleh terima," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
depresi, panik, kebimbangan, Husna, suami

Artikel Lain