“SABARLAH nak... ibumu tiada malam ni,” ungkapan ini mengundang sebak dalam kalangan netizen kerana ia melibatkan seorang ibu tunggal asnaf yang ditahan kerana mencuri ayam mentah di sebuah pasar raya di Perak. “Memang salah cara yang ibumu lakukan, tapi ibumu lakukan kerana nak bagi kamu makan,” demikian menurut posting aktivis gerakan Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol di halaman Facebook miliknya sehingga dikongsi lebih 1,000 kali. ARTIKEL BERKAITAN: “Tanpa malu saya jaja sana sini nak bagi anak-anak makan”, usahawan menangis kenangkan kereta suka duka ditemui semula ARTIKEL BERKAITAN: Guru dikecam beri sumbangan snek, coklat mahal untuk orang susah! “Aku letak diri aku sebagai penerima” Bercakap kepada mStar, Mohd Zulhairi berkata, dia membantu ibu kepada tiga anak itu selepas menerima maklumat berhubung kes tersebut daripada ahli pertubuhan itu di Perak. Dua daripada tiga anak seorang ibu tunggal menikmati hidangan ayam goreng. Lebih dikenali sebagai Hery, katanya, wanita berkenaan pernah dibantu pertubuhan amal itu dan menerusi insiden mencuri di pasar raya itu, ibu tunggal itu ditahan dan dihadapkan ke mahkamah. “Dia mencuri itu tetap salah dan kita tidak boleh nak pertikaikan. Tapi kalau melihat dari dasar perikemanusiaan, dia sebenarnya mencuri untuk beri anak-anak dia makan. “Sepatutnya, dia diberikan amaran atau denda, termasuk dilarang memasuki pasar raya besar itu akibat perbuatannya, bukan menahannya. Ada budi bicara lain yang boleh diambil sebagai jalan penyelesaian,” katanya. Bagaimanapun, kes tersebut tidak mendapat pertimbangan pihak pengurusan pasar raya besar berkenaan dan wanita tersebut dihadapkan ke mahkamah pada Rabu. Perkongsian Hery susulan ibu tunggal tersebut dibebaskan daripada pertuduhan. Menyedari impak kepada anak-anak si pelaku, Hery mengambil inisiatif untuk membantu menyediakan wang berjumlah RM2,000 bagi membayar denda sekiranya ibu tunggal itu disabitkan oleh mahkamah kerana mencuri. “Saya diberitahu bahawa sekurang-kurangnya kesalahannya itu akan disabitkan hukuman denda dan saya menyediakan RM2,000 untuk dia membayarnya. Saya berasa lega bukan mahu menyokong orang berbuat jahat tetapi diharapkan dengan apa yang telah berlaku menjadi pengajaran, selain mengajar apa itu erti kemanusiaan. HERY “Apa yang dia buat itu kerana desakan hidup sehingga terpaksa mencuri, dan salah tetap salah. “Dia ada anak-anak, saya tidak mahu anak-anaknya berpisah dengan ibu mereka hanya kerana si ibu mahu menunaikan kemahuan anak-anaknya untuk makan ayam,” tambahnya. Sumbangan wang tunai yang sepatutnya menjadi bayaran denda dibuat untuk belanja anak-anak. Hery bagaimanapun bersyukur kerana wanita tersebut tidak dikenakan denda, sekali gus sumbangan yang diberikan itu boleh digunakan untuk belanja mereka sekeluarga. “Saya beritahu wakil saya untuk serahkan RM2,000 itu untuk belanja dia dan anak-anaknya, nanti beli ayam ye. “Saya lega bukan mahu menyokong orang buat jahat tapi berharap apa yang telah berlaku menjadi teladan, selain mengajar erti kemanusiaan,” katanya. Sementara itu, aktivis sosial yang mewakili Hery bagi membantu ibu tiga anak itu, Rohaidatul Asma Jusoh berkata, antara lain yang turut dicuri wanita tersebut adalah daging untuk dimasak buat tiga anaknya yang masing-masing berusia 11, enam dan empat tahun. “Syukur tiada pertuduhan dibuat terhadapnya dan dia dibebaskan. Dia bagaimanapun masih trauma dengan kejadian yang berlaku,” katanya. Komen netizen mengenai sumbangan yang diberikan kepada ibu tunggal dan anak-anaknya. Dilaporkan, seorang ibu tiga anak yang ditahan di sebuah pasar raya di Perak kerana mencuri barang dianggarkan bernilai RM80 termasuk ayam, dibebaskan tanpa syarat. Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso dipetik sebagai berkata, tiada pertuduhan dibuat terhadap wanita terbabit. Difahamkan, wanita itu menyara kehidupan mereka berempat berdasarkan hasil mengambil upah mengasuh anak dengan pendapatan RM500 sebulan. Dia kini dalam proses perceraian dengan suaminya yang telah meninggalkannya sejak dua tahun lalu.