suria

“Niat saya bukan nak malukan keluarga Makcik Zahrah” - Sebar ibu diabai 9 anak, lelaki ini mohon cerita ‘habis sampai sini je’

Kisah Makcik Zahrah yang didakwa diabaikan ahli keluarga sendiri ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital di ibu negara hanya salah faham.

SEJAK Rabu, viral kisah mengenai seorang warga emas yang didakwa diabaikan ahli keluarga sendiri apabila dilihat berseorangan ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital di ibu negara.

Kisah yang dikongsi oleh seorang pelayar Facebook, Salehuddin Morktarudin melalui satu posting di laman sosialnya itu kemudian mendapat reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan anak-anak wanita tua tersebut yang tergamak membiarkan ibu mereka keseorangan pada saat yang amat memerlukan itu.

Bagaimanapun tidak lama kemudian, menerusi posting yang berasingan, Salehuddin memaklumkan bahawa wanita yang dikenali sebagai Makcik Zahrah itu sudah selamat dipertemukan dengan ahli keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa nenek berjalan di wad pukul 2 pagi? Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan tampil beri penjelasan 

“Alhamdulillah, syukur kes Makcik Zahrah telah selesai dan makcik tersebut telah berjumpa anak dan keluarganya.

“Saya dapat info daripada jiran Makcik Zahrah ada salah faham antara mereka dan anaknya telah bawa Makcik Zahrah tinggal bersama dan menjaganya di Taiping,” demikian jelas Salehuddin dalam posting terbaharunya.

Posting terbaru Salehuddin di Facebook mengenai perkembangan kisah Makcik Zahrah.

Salehuddin juga berkata, niatnya membuat posting berkenaan kisah Makcik Zahrah hanya untuk membantu wanita berkenaan.

“Niat saya bukan untuk memalukan keluarga Makcik Zahrah tapi saya kesian dan nak bantu kerana anggap Makcik Zahrah seperti ibu saya.

“Saya memohon supaya cerita ini habis sampai di sini saja ya.

“Pihak keluarga Makcik Zahrah pesan kepada saya mintak tolong jangan diviralkan lagi dan dibesarkan lagi,” tulisnya sambil menzahirkan penghargaan kepada pihak yang sama-sama membantu dan prihatin terhadap kisah berkenaan.

Dalam posting asalnya, Salehuddin meluahkan rasa sedih melihat wanita itu berseorangan mendapatkan rawatan tanpa ditemani sesiapa.

Wanita itu mengakui mempunyai sembilan anak, namun tidak berjaya menghubungi mereka.

“Bila aku tengok makcik ini, aku terbayangkan jika itu adalah mak aku,” tulisnya sambil meminta mana-mana pihak yang mengenali wanita itu agar segera memaklumkan keadaannya kepada keluarganya.

Posting asal itu bagaimanapun sudah dipadamkan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
warga emas, makcik Zahrah

Artikel Lain