suria

Tak hirau pesanan jangan buka WhatsApp, budak 5 tahun caras tunang mak saudara – “Dia tak suka kartun...siap bahasakan diri sebagai I”

Nur Atikah (kiri) tidak menyangka video anak saudaranya, Syazalina Khalesah yang cuba ‘mencaras’ tunangnya mencuit hati netizen.

TELATAH kanak-kanak sememangnya menghiburkan, tambah-tambah lagi jika mereka petah bercakap.

Baru-baru ini, viral satu video di mana seorang kanak-kanak perempuan cuba ‘menggatal’ dengan lelaki dewasa menerusi pesanan suara di aplikasi Whatsapp.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 5 tahun disambar JDT, bakal jadi pemain termuda Malaysia 

ARTIKEL BERKAITAN: Lambat lagi nak jadi doktor, budak ini caj 50 sen lukis luka tapi dia menangis wartawan nak interview... “Ada yang menyamar, terus dia frust” 

Video yang dimuat naik di laman Twitter oleh @nratikh7 itu nyata mengundang rasa lucu netizen yang terhibur dengan kepetahan kanak-kanak berkenaan.

Bercerita kepada mStar, gadis yang memuat naik video tersebut, Nur Atikah Ibrahim berkata, dia tidak menyangka budak perempuan itu yang juga anak saudaranya begitu petah berkata-kata sehingga berani ‘mencaras’ tunangnya.

“Sebenarnya, baru-baru ini kami sekeluarga pulang beramai-ramai ke kampung di Taiping. Malam itu, saya sememangnya sedang bermesej dengan tunang di Whatsapp. Tak lama kemudian, anak buah saya, Syazalina Khalesah masuk ke bilik saya.

“Dia sibuk nak belek Instagram dan Youtube. Jadi saya pun tolong buka dan kemudian pesan kepadanya, jangan buka Whatsapp. Lepas itu saya terus ke dapur,” katanya. 


Video yang dimuat naik Nur Atikah di Twitter .

Namun menurut gadis berusia 24 tahun ini, alangkah terkejutnya apabila menyedari anak saudaranya yang berusia lima tahun itu ‘menceroboh’ perbualannya bersama tunang.

“Tunang saya pula melayan, dia fikir saya yang suruh Syazalina bercakap sedemikian, padahal ketika itu saya di dapur.

“Mujur juga dalam voice message tu tak ada perkataan yang tidak sepatutnya,” ujarnya tertawa kecil.

Dia tak suka kartun. Mungkin sebab itu cara dia bercakap seperti orang dewasa, siap bahasakan diri sebagai I

NUR ATIKAH IBRAHIM

Lebih melucukan, Syazalina kemudian membuat permohonan maaf di atas 'kesalahannya' itu dan dan video berkenaan yang turut dimuat naik dalam posting berasingan, sekali lagi mencuit hati netizen.

Menurut Nur Atika, anak saudaranya itu sememangnya rapat dengan bakal suaminya, Muhammad Zakwan Fahmi.

“Selain itu, Syazalina ni suka tengok drama dan menonton saluran National Geographic. Dia tak suka kartun. Mungkin sebab itu cara dia bercakap seperti orang dewasa, siap bahasakan diri sebagai I,” ujarnya yang bakal disatukan dengan tunangnya pada November ini.

Antara komen netizen yang terhibur dengan kepetahan Syazalina.

Dalam pada itu, Nur Atikah berkata niatnya memuat naik video berkenaan hanya sekadar mahu berkongsi momen lucu bersama anak saudaranya, selain menghiburkan netizen.

“Anak saudara tinggal di Alor Setar, saya pula di Petaling Jaya. Apabila jarang berjumpa, mesti kita nak abadikan momen dengan mereka.

“Tak ada niat nak menunjuk, juga tak wajar nak kecam atau sebagainya. Ini video kanak-kanak saja. Kalau tak suka sekalipun, simpan saja dalam hati. Namun, saya tak kisah. Setiap orang ada pandangan masing-masing,” katanya. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain