suria

Bungkusan ‘free gift’ ada seluar dalam ‘opah’, kaki shopping online tak jadi nak teruja – “Ada ke orang nak beli?”

Amir tidak menyangka ditipu dengan seorang penjual apabila hanya menerima tiga helai seluar dalam wanita sedangkan membuat pembelian sebuah dompet secara dalam talian. Foto ihsan Arif Adli Hasbullah

HANYA yang selalu buat belian secara dalam talian sahaja yang tahu bagaimana terujanya perasaan apabila menerima barang yang dihajati.

Selagi barang tak sampai ke tangan, selagi itulah rasa resah dan gelisah menyelubungi diri, asyik tengok rekod ‘tracking’ untuk periksa proses penghantaran.

Namun apa yang dialami seorang pemuda amat mengejutkan kerana lain yang dipesan dari luar negara, lain pula yang diterimanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Gigit jari’ telefon lesap, pemuda dedah bagaimana kena game dengan penipu duit palsu, “Datang lambat... isteri bertudung, nampak macam orang berduit”

ARTIKEL BERKAITAN: Awas terbeli kuih raya terowong! Pelanggan akui peniaga pandai menipu selepas buka balang ‘penuh’ biskut Red Velvet

“Aku tak tahulah nak rasa sedih ke kelakar tapi aku dah lama tunggu barang ni,” katanya yang menerima seluar dalam wanita sedangkan dia membuat pesanan barang berupa dompet lelaki, menerusi laman beli-belah dalam talian popular.

Pemuda berkenaan, Arif Adli Hasbullah berkata, dia membuat pesanan barang tersebut kira-kira dua minggu lalu dan menerima bungkusan pada Selasa lalu.

Pelajar berusia 19 tahun itu memberitahu, walaupun sering membuat pembelian secara dalam talian tetapi dompet yang dibeli itu amat dinantikan-nantikannya.

“Saya memang teruja nak dapat dompet ni sebab nak gantikan dengan dompet yang lama. Barang pula dipesan daripada penjual di China, harga pula memang murah sebab ada promosi.

“Bila barang sampai, kawan-kawan serumah siap kerumun nak tengok apa yang saya dapat. Bila buka, ada tiga bungkusan kecil seperti kain dilipat yang berupa seluar dalam wanita, bukan satu tapi tiga helai!” katanya kepada mStar sambil menambah dia menyewa bersama sembilan rakan yang lain di Masai, Pasir Gudang, Johor.

Bungkusan yang diterima oleh Arif sepatutnya mengandungi sebuah dompet.

Arif yang merupakan pelajar Diploma Kejuteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor itu pada mulanya menyangka seluar dalam wanita tersebut adalah hadiah percuma di atas pembelian dompet.

“Rasa pelik jugalah sebab dapat seluar dalam wanita. Saya pun periksa semula bungkusan tu dan memang ada tiga seluar dalam tu saja, dompet tak ada.


Nak jual balik pun tak pasti ada orang nak beli ke tak. Saya cadang nak berikan saja kat mak atau nenek saya, tak elok membazir dan buang macam tu saja.

ARIF

“Sah! Saya kena tipu. Pada mulanya rasa sedih sebab ditipu pertama kali beli daripada penjual di luar negara dan berharap sangat tunggu dompet, tapi kemudian rasa kelakar sebab dapat seluar dalam wanita.

“Kawan-kawan serumah saya gelak habis sebab mereka kata yang saya dapat tu macam seluar dalam ‘opah’ untuk orang-orang tua pakai,” katanya.

Tiga helai seluar dalam wanita yang diterima Amir.

Malahan, menurut pemuda yang berasal dari Tengkara, Melaka itu, kesemua seluar dalam wanita itu bersaiz XL.  

“Pada mulanya saya sangka seluar dalam untuk wanita mengandung, tapi sebenarnya bukan... sebab memang besar saiznya XL,” katanya.

Anak sulung daripada enam beradik itu menambah, dia pada mulanya bercadang untuk membuang kesemua seluar dalam wanita berkenaan.

Arif (kiri) menjadi bahan gurauan rakan-rakan serumahnya gara-gara menerima bungkusan seluar dalam wanita.

Dia bagaimanapun membatalkan hasrat tersebut kerana menunggu tuntutan bayaran balik yang dibuatnya terhadap penjual yang berpangkalan di Shanghai, China itu. 

“Silap saya sebab tak baca dulu komen dan ulasan umum mengenai penjual tersebut. Ramai kata penjual tu penipu. Saya sebelum ni buat terus beli sebab harganya jauh lebih murah berbanding dijual peniaga tempatan. 

“Nak jual balik pun tak pasti ada orang nak beli ke tak. Saya cadang nak berikan saja kat mak atau nenek saya, tak elok membazir dan buang macam tu saja.

“Walau bagaimanapun, saya tak lah serik lagi beli barang online, tapi saya akan lebih berhati-hati selepas ini dengan membaca komen dan ulasan terlebih dahulu sebelum membuat pembelian, dan beli saja dengan penjual tempatan,” kata Arif.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
online, seluar dalam, opah

Artikel Lain