suria

Faiz punya fasal, lima rakan serumah sering buat tetamu ‘blur’... jiran sebelah tak nak kalah dengan enam Danial!

Lima rakan serumah mempunyai nama dan panggilan Faiz menjadi perhatian selepas satu klip video tular di media sosial. Foto ihsan Muhammad Faiz Basri

PERNAH bayangkan apabila ramai orang dengan nama sama berada di tempat yang sama? 

Begitulah yang dialami sekumpulan pelajar yang tinggal serumah, menerusi video yang tular di media sosial.

Mereka berkumpul di meja makan sebelum kedengaran suara individu yang merakamkan video tersebut memanggil nama ‘Faiz’ dan ketiga-tiganya menoleh serentak.

ARTIKEL BERKAITAN: Wah! Lelaki botak jadi perhatian media antarabangsa selepas terserempak ‘klon’ di majlis kahwin, “Saya macam tengok diri sendiri”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kembar’ KJ ditemui, mula jadi buruan...

“Ni laaa akibat bila dalam satu rumah ada lima orang Faiz. Hmmm...” menurut perkongsian pengguna Twitter bernama Faiz @fzbsri yang memuat naik video yang dirakamkan oleh seorang rakannya, juga bernama Faiz.

(Dari kiri) Muhammad Faiz Basri,  Muhammad Faiz Fakhrullah Zulmane, Muhammad Faiz Nasarudin, Muhammad Faiz Mohd Azman dan Muhammad Faez Mohammad Tinin.

Pengguna Twitter berkenaan, Muhammad Faiz Basri berkata, mereka merupakan lima daripada lapan rakan serumah yang tinggal di kolej penginapan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor.

Pelajar berusia 21 tahun itu memberitahu, kesemua mereka baru mengenali antara satu sama lain bermula pembukaan semester baharu pada bulan lalu.

“Pada asalnya kami tak kenal masing-masing. Pihak kolej menempatkan pelajar-pelajar mengikut turutan abjad nama. Kebetulan ada lima Faiz dalam satu rumah.

“Kalau ada sesiapa panggil salah seorang daripada kami dengan nama Faiz, semua akan pandang dan keliru siapa sebenarnya yang dipanggil itu,” katanya kepada mStar.

Antara senarai nama penghuni kolej.

Muhammad Faiz yang berasal dari Kangar, Perlis berkata, dia tidak menyangka video yang dikongsikannya itu menjadi tular sehingga diulang kicau lebih 28,000 kali.

“Sehari lepas tu, saya kongsi senarai nama sebahagian penghuni kolej nak tunjuk rumah kami ada empat Muhammad Faiz dan seorang Muhammad Faez,” katanya.

Senarai nama penghuni kolej menemukan lima pelajar bernama Faiz dan enam pelajar bernama Danial.

Namun, tanpa disangka-sangka, perkongsian yang dibuat oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani itu membongkarkan penemuan baharu.

“Saya dan rakan-rakan pada awalnya tak perasan, sampailah ada netizen yang beritahu jiran kami ada enam orang nama Danial. Kami pun tak sangka.

Kami yang berlima Faiz ni pun selalu keliru, apatah lagi ada enam Danial. Kami baru je masuk kolej ni, jadi ada penghuni yang tak kenal atau ingat semua nama.

MUHAMMAD FAIZ

“Kami yang berlima Faiz ni pun selalu keliru, apatah lagi ada enam Danial. Kami baru je masuk kolej ni, jadi ada penghuni yang tak kenal atau ingat semua nama,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, empat rakan serumahnya yang bernama 'Faiz' adalah Muhammad Faiz Fakhrullah Zulmane, Muhammad Faiz Nasarudin, Muhammad Faiz Mohd Azman dan Muhammad Faez Mohammad Tinin.

Apabila lima pelajar bernama Faiz dan Faez berkumpul.

Tambahnya, pada masa ini hanya nama dan umur merupakan persamaan antara mereka, sekali gus tidak menyukarkan orang lain untuk membezakan mereka.

“Antara kami selamba panggil masing-masing dengan nama Faiz saja. Tapi kalau orang luar datang jumpa nak cari Faiz itu, Faiz ini, kami kena tanya Faiz mana?

“Kalau yang tahu ada ramai Faiz dalam rumah ni, mereka terus sebut nama dengan nama ayah sekali atau kursus. Tapi kalau yang tak tahu, terus buat muka blur.

“Tapi kelakarlah bila ada lima Faiz dan enam Danial, yang sebenarnya duduk berjiran dalam satu kolej,” katanya secara berseloroh.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Faiz, Danial, UiTM, Puncak Alam

Artikel Lain