SEJAK kecil lagi kita sering diingatkan supaya sentiasa menjaga dan menghargai harta benda atau barangan peribadi terutamanya jika barangan itu sekadar pinjaman. Namun ibarat perumpamaan yang sering kita dengar, 'malang tidak berbau' yang membawa maksud kecelakaan boleh terjadi secara tiba-tiba dan di mana-mana tanpa kita jangka. ARTIKEL BERKAITAN: Graduan terharu, 2 insan istimewa hadir pada majlis konvokesyen selepas 10 tahun bercerai.... paling tersentuh baca komen bapa di Instagram! Inilah yang dialami oleh seorang graduan lelaki pada hari istimewanya sebagai pelajar setelah hampir tiga tahun menuntut ilmu untuk menamatkan pengajian peringkat diploma. Posting yang dimuat naik oleh @Millyeress. Tular satu perkongsian yang dimuat naik oleh seorang gadis di akaun twitter @Millyeress dengan kapsyen, 'Konvo yang takkan dilupakan. Kejadian berlaku 17 Oktober 2019. Tolong retweet kawan-kawan, jubah konvo kawan aku terkoyak sebab termasuk dalam roda motor. Jadi kena bayar RM500. Sampai ke hari ni tak boleh bayar lagi dan Diploma dia pun kena sekat. Sedekahlah seorang RM1 pun lebih dari cukup'. Posting tersebut dimuat naik oleh gadis ini pada Rabu ternyata mendapat perhatian ramai apabila ia meraih kira-kira 1,700 ulang kicau serta 1,100 tanda suka. Menurut Nik Hakeem Arif, dia adalah pelajar yang dimaksudkan oleh gadis berkenaan dan sama sekali tak menyangka perkongsian tersebut akhirnya tular. Jelas remaja yang berusia 20 tahun itu, kejadian tersebut berlaku pada malam selepas dia selesai menghadiri majlis konvokesyennya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu bagi menerima Diploma Pengajian Perbankan pada 17 Oktober lalu. Keadaan jubah yang terkoyak selepas terselit di tayar motorsikal bersama rakannya (baju putih) pada malam kejadian. Peristiwa berkenaan berlaku semasa dia dalam perjalanan pulang ke asrama sebaik sahaja tamat majlis konvokesyen. “Masa tu saya dalam perjalanan nak balik, naik motor dengan kawan. Saya bonceng je kat belakang sambil pegang jubah konvo. “Tapi nasib tak sebelahi saya, jubah yang saya pegang tu termasuk dalam tayar motor, habis terkoyak. Mula-mula memang saya tak sedar, tiba-tiba motor rasa lain macam sampai tak boleh nak gerak. Bila tengok je habis jubah saya,” katanya ketika dihubungi mStar. Hakeem kemudian meminta rakannya untuk memberhentikan motosikal di bahu jalan bagi memudahkan dia mengeluarkan jubahnya yang tersepit dicelah-celah rim tayar motosikal tersebut. Selepas beberapa kali cubaan gagal, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini kemudiannya meminta bantuan pengawal keselamatan di situ untuk membantunya. Ibu mula tu memang marah kenapa buat macam ni, tak pandai jaga barang lepas tu lagi marah bila dapat tahu tentang 'misi bantuan' itu. NIK HAKEEM ARIF PELAJAR UniSZA “Lepas dah boleh ditarik keluar, rasa hancur hati apabila tengok jubah konvo saya tu terkoyak. Lepas tu saya tak fikir banyak, terus hubungi pihak pengurusan bagi memaklumkan kejadian yang berlaku,” luahnya. Kata Hakeem lagi, dia kemudiannya diberi penerangan mengenai prosedur serta syarat konvokesyen yang telah ditetapkan iaitu jika berlaku kehilangan atau kerosakkan pada jubah, peminjam perlu bayar denda sebanyak RM500. Malah bertambah malang lagi, bukan hanya perlu membayar denda semata-mata tetapi diplomanya turut ditahan oleh pihak UniSZA jika dia tidak menjelaskan dendanya. “Saya terfikir juga, nak tak nak kena bayar denda sebab kalau tidak saya takkan dapat diploma tu. Ini tanggungjawab saya dan mengaku salah sendiri sebab cuai tak pandai nak jaga dan hargai barang pinjaman," jelas anak sulung daripada empat beradik itu. Hakeem (tiga dari kiri ) bersama rakan kuliahnya ketika bergambar pre-konvo. Namun apa yang lebih memeranjatkan, dia turut menerima sumbangan ikhlas daripada warga Twitter bagi meringankan beban selepas rakan sekelasnya, Shamila memuatnaikkan posting 'misi bantuan' tersebut. “Terkejut dan tak percaya, masih juga ada individu yang baik hati membantu meringankan beban saya. Saya sendiri masih lagi pelajar, mana nak dapat duit sebanyak tu. Kebetulan pula Shamila cakap nak tolong tweet pasal ni. “Saya pun okay saja. Tak tahu pula dapat respons positif, saya bersyukur sangat,” ujar Hakeem yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) di institusi sama. Tidak hanya itu, Hakeem juga menerima kecaman apabila ada yang berpendapat tindakannya seolah-oleh tidak matang dan tidak bertanggungjawab. "Jubah tu tanggungjawab dia, kenapa nak kena minta sumbangan orang ramai untuk seseorang yang tak bertanggungjawab atas barang sendiri?" kata seorang netizen. Posting tersebut turut mendapat kecaman netizen di Twitter. Kongsi pelajar itu lagi, pada mulanya ibu bapa dia tidak mengetahui akan insiden yang berlaku dan Hakeem hanya menceritakan selepas mendapat sumbangan ikhlas daripada warga Twitter. Dalam masa sehari saja status itu dikongsi, dia sudah memperoleh sumbangan malah melebihi daripada jumlah yang diperlukan. "Ibu mula tu memang marah kenapa buat macam ni, tak pandai jaga barang lepas tu lagi marah bila dapat tahu tentang 'misi bantuan' tu. Ibu tak nak nanti orang cakap bukan-bukan. "Bukan niat saya nak tipu ibu, cuma saya fikir tak nak susahkan ibu sebab itu salah saya. Tapi kawan post tweet tu, tak sangka pula ramai yang tolong," jelas Hakeem akan reaksi ibunya. Bukti sumbangan yang diperolehi Hakeem. Tambah Hakeem lagi, jumlah yang diterimanya sudah mencukupi untuk membayar denda, malah terlebih. Jadi dia bercadang untuk memulangkan semula kepada individu-individu tersebut. "Terkejut juga dalam masa beberapa hari sahaja saya terima banyak sumbangan malah sampai terlebih dari jumlah sebenar yang saya perlukan. Saya fikir saya akan pulangkan semula kepada tuan punya badan. "Saya janji lepas ni perkara macam ini tak akan berlaku lagi terutamanya untuk konvo degree nanti. Saya minta maaf sebab ada juga individu yang mengecam saya. Betul saya tak sepatutnya minta sumbangan orang ramai sebab itu salah sendiri," akurnya akan kecaman yang diterima.