SAMA ada di majlis-majlis, dalam dewan mahupun di atas pentas, ia menjadi medan untuk pakar motivasi memberikan ceramah mereka. Namun, cukup luar biasa apabila kawasan tepi lebuh raya menjadi lokasi pilihan pakar motivasi terkenal menyampaikan ucapannya. Lebih 'rare' lagi adegan itu dilakukan di hadapan papan iklan atau billboard yang memaparkan wajahnya sendiri! Menerusi video penstriman secara langsung di laman sosial pada pagi Ahad, Dr Azizan Osman berhenti di tepi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Kajang, Selangor semasa dalam perjalanan ke Desaru, Johor bagi menghadiri satu program. ARTIKEL BERKAITAN: Katanya ia hadiah hari jadi paling ‘gila’, nantikan kejutan Dr Azizan di billboard ucapan ulang tahunnya Dalam liputan khas itu, beliau singgah sebentar untuk melihat sendiri billboard ucapan hari ulang tahunnya yang dihadiahkan oleh dua anak didiknya. Papan iklan ucapan hari ulang tahun Azizan di lebuh raya PLUS dekat Kajang, Selangor. Foto Das Abdul Hadiah papan iklan tersebut adalah tanda penghargaan daripada dua anak didik beliau, iaitu pengusaha bisnes bantal, Tuan Das Abdul dan Narul Khairil Anuar yang memiliki sebuah syarikat pengiklanan. “Kedua-dua mereka ni buat kerja ‘gila’ apabila menghadiahkan ucapan hari jadi melalui unipole billboard (menara papan iklan setiang) yang saya tahu kosnya bukan murah. “Bukan pasal harga itu sebenarnya, tapi usaha yang mereka cuba nak berikan sebagai satu penghargaan di atas apa yang saya dan Richworks lakukan dalam membantu mereka dari mula berniaga,” katanya. Papan iklan dari jarak dekat. Foto Richworks Berkongsi kisah mengenai kejayaan dua anak didiknya itu, Azizan memberitahu bahawa ia membuktikan semua orang boleh mengubah hidup mereka sekiranya ada kemahuan dan usaha. “Semua orang boleh ubah hidup dia kalau dalam ‘kepala otak’ dia tu diubah dan dia nak diubah. Kalau dia tak nak diubah, tiada siapa boleh tolong... anda kekal di mana anda berada sekarang. “Saya selalu cakap, jangan percaya apa yang saya cakap melainkan anda melalui pengalaman itu sendiri, ikut dan komited supaya anda faham dan nampak ‘oh, saya boleh bina kewangan yang lebih baik’,” ujarnya. Saya nak lihat 100,000 orang dibantu pada 2020 dan saya nak lihat lebih ramai mencapai tahap jutawan dunia dan akhirat. AZIZAN Azizan yang menyambut ulang tahun ke-45 pada 14 November lalu mahu meneruskan hasratnya dalam membantu lebih ramai orang untuk mencapai kejayaan terutama dalam perniagaan. “Saya nak lihat 100,000 orang dibantu pada 2020 dan saya nak lihat lebih ramai mencapai tahap jutawan dunia dan akhirat, insyaAllah. “Adakah anda menjadi salah seorang yang akan dibantu dan dibimbing? Terpulang, ia sangat bergantung kepada komitmen anda sama ada anda serius hendak mengubah hidup anda,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan ucapan dan hadiah sempena hari ulang tahunnya. Azizah berhenti sebentar di tepi lebuh raya dalam perjalanan ke Desaru, Johor pada pagi Ahad. Foto Richworks Terdahulu, bercakap kepada mStar, Azizan mengakui terkejut dan kagum dengan pemberian hadiah yang tidak disangka-sangka itu. “Biasanya ucapan pada papan iklan ni dibuat untuk Yang di-Pertuan Agong, tapi saya yang dapat. Siapalah saya untuk diberikan ucapan sebegitu rupa,” katanya. Tuan Das ketika dihubungi memberitahu papan iklan ucapan hari jadi buat Azizan itu mula dipasang pada 20 November selama sebulan, membabitkan kos kira-kira RM50,000.