suria

Ibu menggigil tengok anak kaku, lelangit tertusuk straw mainan... darah sampai hidung! - “Saya silap besar, doktor kata boleh ragut nyawa Alisha”

Keadaan luka yang terkoyak pada lelangit mulut Alisha.

"MAMA... tengok ni!" ia ungkapan terakhir seorang kanak-kanak berusia dua tahun sebelum jatuh tersembam menyebabkan lelangitnya tertusuk straw permainan tiup belon.

Insiden ngeri itu wajar dijadian pengajaran dan teladan supaya ibu bapa sentiasa menjaga anugerah terindah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap pasangan suami isteri dengan sebaik mungkin. 

"Seolah-olah memberi tamparan kepada saya. Terbayang wajah anak kebiruan menahan sakit... Sudahlah darah terpancul sampai ke hidung, suara tangisan langsung tidak dengar! Gigil tangan ini mendukungnya," demikian luahan dari hati seorang seorang ibu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tergelincir sewaktu pasang lampu kelip-kelip, remaja cedera tangan tertusuk besi pagar


Posting yang dimuat naik oleh Hidayah.

Malang tidak berbau! Inilah nasib yang menimpa Nur Hidayah Baharom apabila anaknya tertusuk straw permainan tiup belon akibat kecuaiannya. 

Malah insiden ini turut dikongsi di laman Facebooknya pada Isnin hingga tular dengan meraih kira-kira 18,000 perkongsian.

Dikenali sebagai Hidayah, dia berkata kejadian tersebut menimpa anak ketiganya, Nur Alisha Safiya Mohd Khairul yang berusia dua tahun.

Jelasnya, kejadian berlaku pada pagi Isnin di rumah mereka yang terletak di Taman Sierra Perdana, Masai, Johor. 

Lebih mengejutkan lagi apabila dia sendiri tidak tahu dari mana anaknya memperolehi permainan itu.

Straw permainan tiup belon serta keadaan luka selepas tertusuk pada lelangit mulut Alisha.

"Kejadian itu berlaku depan mata saya kira-kira pukul 7 pagi Isnin. Alisha tengah main permainan tiup belon itu depan saya, tapi saya tak tahu dari mana dia dapat mainan itu mungkin daripada jiran.

"Jarak saya dengan Alisha sangat dekat dalam dua langkah. Dia berdiri depan saya dan cakap, 'mama... tengok ni' sambil tiup mainan tu, kemudian datang nak peluk saya, tapi tersembam terkena bantal yang ada kat situ dan mainan tu tertusuk lelangit dia," kata Hidayah ketika dihubungi mStar.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata ini, keadaan anaknya yang dibasahi darah itu membuatkan dia menggigil ketakutan.

Memang salah saya sebab berkeras taknak bawa ke hospital. Bayangkan hampir dua jam saya biar anak macam tu, kalau lah apa-apa terjadi masa itu memang saya tak akan maafkan diri saya

NUR HIDAYAH BAHAROM

Suri rumah

Malah anaknya juga tidak menunjukkan sebarang tindak balas, membuatkan dia risau jika perkara yang tidak diingini berlaku.

"Melihatkan mainan tu melekat di lelangit Alisha, saya cabut. Terkejut dan menggigil tangan masa tu dengan darah tiba-tiba keluar banyak, sampai terpancul ke hidungnya. Alisha pula diam, langsung tak menunjukkan sebarang reaksi hampir satu minit juga.

"Risau kalau apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku. Saya terus peluk dan dukung dia sambil menepuk di belakang badannya dan lepas beberapa minit baru saya dengar suara dia. Syukur sangat," luahnya.

Cerita Hidayah lagi, ketika kejadian dia dan suami serta dua lagi cahaya matanya berada di rumah.

Kesan koyakkan pada lelangit mulut Alisha.

"Saya kemudian memujuk Alisha supaya bertenang. Suami ada ajak saya untuk bawa Alisha ke hospital. Tapi entahlah saya berkeras tak nak pergi sedangkan darah keluar tanpa henti. Saya fikir konon-kononnya saya boleh selesaikan masalah ini sendiri.

"Lama juga ambil masa untuk bagi darah tu berhenti, kemudian saya bagi dia minum air sejuk. Lepas saja Alisha minum dan kumur saya terkejut tengok lelangitnya terkoyak besar. Terus saya ajak suami bawa pergi hospital," ujarnya.

Keadaan luka itu membuatkan Hidayah terpaksa membawa anaknya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, Johor untuk menerima rawatan.

"Dalam pukul 10 pagi baru saya bawa Alisha ke hospital sebab luka besar dan darah masih tidak berhenti. Sampai saja di sana, Alisha dibawa masuk ke dalam bilik kecemasan, sebelum dirujuk doktor pakar. 

"Risau tu jangan cakaplah sebab dari rumah lagi saya dah tak tenang kerana memikirkan sakit yang dia alami," luah suri rumah sepenuh masa ini.

Hidayah bersama suami serta tiga anaknya.

Berasal dari Johor Bahru, ibu ini berkata dia mengakui kesilapannya kerana tidak terus membawa anaknya untuk dapatkan rawatan di hospital.

"Ini pengajaran pada saya! Pertama saya rasa seboleh-bolehnya nak selesaikan masalah ini sendiri. Tapi selepas diberi penerangan daripada doktor saya akhirnya sedar yang saya silap besar kerana kata doktor jika dibiarkan anak saya akan mengalami pendarahan yang banyak malah akan ada kesan sampingan yang boleh meragut nyawa anak saya.

"Ya, memang salah saya sebab berkeras tak nak bawa ke hospital. Bayangkan hampir dua jam saya biar anak macam tu, kalaulah apa-apa terjadi masa itu memang saya tak akan maafkan diri saya," katanya dengan kesal.

Susulan kecederaan serius yang menimpa anaknya, Alisha kini masih mendapat rawatan di hospital dan menunggu keputusan untuk menerima jahitan pada luka itu.

Hidayah bersama anak ketiganya, Nur Alisha Safiya Mohd Khairul.

Kongsi Hidayah lagi, doktor ada memaklumkan, kemungkinan suara anaknya akan berubah selepas dijahit.

"Doktor ada cakap kalau Alisha dijahit dengan keadaan lelangit macam itu, kemungkinan suara dia akan berubah. Masa tu saya dah tak kuat, rasa macam satu tamparan kepada saya," katanya.

Namun begitu kata Hidayah keadaan kesihatan anaknya ketika ini sedikit merosot dan suhu badan mula tinggi. Oleh kerana itu, pihak hospital belum membuat keputusan untuk menjahit bahagian yang terkoyak.

"Alisha dari semalam langsung tak nak bagi kerjasama, doktor suruh buka mulut pun dia tak nak. Jadi pihak hospital bercadang untuk beri suntikan bius sebelum jahit. Tapi disebabkan keadaan kesihatan Alisha yang sedikit merosot dan suhu badan tinggi, doktor tangguh dulu," kongsi ibu ini.

Bagaimanapun, kata Hidayah, tujuan dia memuat naik status tersebut sekadar berkongsi pengalaman serta memberi peringatan kepada ibu bapa mengenai bahaya menimpa anak-anak hanya disebabkan kecuaian.

Salah seorang netizen meninggalkan komen negatif menerusi ruangan komen pada posting tersebut.

Hidayah bersyukur kerana menerima kata-kata positif dari netizen di atas kejadian yang menimpa anaknya.

"Maaf bukan niat saya untuk meminta simpati atau buka aib sendiri... Tapi sebagai ibu bapa kita perlulah lebih peka dengan persekitaran. Bukan sekadar fikir untuk gembirakan mereka tapi perlu tahu juga bahaya yang mungkin terjadi.

"Apa-apa pun saya sangat berterima kasih kepada mereka yang mendoakan kesihatan anak saya serta memberikan kata positif dan semangat kepada saya. Teruskan mendoakan untuk anak saya, Nur Alisha Safiya semoga cepat sembuh. Terima kasih," luahnya.

Malah turut berkongsi cerita, terdapat juga beberapa individu yang tidak dikenali datang melawat anaknya di hospital serta memberi sedikit sumbangan.

"Terkejut dan langsung tidak percaya, sebenarnya ramai sahaja masyarakat kita yang prihatin. Buktinya lepas sahaja posting itu tular, ada beberapa orang hubungi saya tanyakan tentang anak. Ada juga yang datang melawat walaupun saya tak kenal, bagi sumbangan dan macam-macam. Syukur sangat-sangat," kata Hidayah.

Namun begitu, tidak kurang juga ada segelintir individu yang membuat pelbagai tanggapan dan andaian berhubung kejadian itu.

"Sesetengah kita, bangsa Melayu, agama Islam nak ikut orang Puteh! Happy Birthday konon, akhir sekali jadi 'tangtenon'," kata seorang netizen menerusi ruangan komen pada posting tersebut.

Walau bagaimanapun, tindakan wanita ini akhirnya menerima kecaman ramai.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ibu, tertusuk, permainan

Artikel Lain