suria

Kru kabin patah tangan tolong simpan bagasi, penumpang lelaki pun ‘ada hati’ minta layanan sama - “Seriuslah kau suruh perempuan angkat beg?”

Seorang kru kabin berkongsi kisah rakan setugasnya yang patah tangan gara-gara mengangkat beg penumpang untuk diletakkan di ruang penyimpanan bagasi di atas tempat duduk dalam pesawat. Gambar sekadar hiasan. Foto S.S Yoga

KECOH insiden seorang kru kabin sebuah syarikat penerbangan mengalami patah tangan, semuanya gara-gara mengangkat beg berat milik seorang penumpang untuk diletakkan di tempat penyimpanan bagasi di atas tempat duduk dalam pesawat.

“Kru dah patah tangan sebab tolong penumpang angkat beg kat overhead compartment, beg tu jatuh dan tangan kru patah,” menurut perkongsian seorang kru kabin di laman sosial sehingga tular.

Bercakap kepada mStar, kru kabin wanita itu mengakui perkongsiannya itu berdasarkan insiden melibatkan rakan setugasnya, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Penumpang kalau cirit jangan malu minta bantuan kru kabin” - Pramugari kongsi pengalaman jijik, sinki penuh air najis bersama seluar dalam

Dia yang enggan dikenali itu memberitahu kejadian berlaku membabitkan syarikat penerbangan tempatan semasa penerbangan domestik.

“Tangan kru kabin retak. Sebelum ini pernah sampai jari retak, kecederaan tisu, slip disc, masalah tulang belakang disebabkan kejadian seperti itu.

“Saya tak pernah alami sebab saya tak pernah angkat bagasi mahupun beg penumpang. Saya tahu akibatnya dan kalau penumpang tak boleh angkat, saya keluarkan beg dari pesawat dan letak di bahagian kargo,” katanya kepada mStar, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai insiden yang berlaku.

Perkongsian seorang kru kabin menjadi tular di media sosial.

Namun katanya, kru kabin lebih kepada membantu menyusun beg untuk memaksimumkan ruang penyimpanan dan bukannya mengangkat beg milik penumpang.

“Tapi atas budi bicara boleh angkat sama-sama dengan penumpang untuk kami support saja, bukannya angkat seorang.

“Berapa ramai kru nak kena slip disc, patah sana sini, MC (cuti sakit) lama dan hilang pekerjaan dan selepas tu tak ada gaji sebab penumpang yang degil ni?

“Angkat beg bukan kerja kami... kami pastikan anda selamat sepanjang penerbangan,” ujarnya sambil mencadangkan penumpang boleh mendaftar masuk beg berat tersebut demi keselesaan.

Lagi-lagi lelaki yang tak gentleman suruh kami angkat beg, saya cakap excuse me sir, please be a gentleman. Seriuslah kau suruh perempuan angkat beg? 

KRU KABIN

Bagaimanapun katanya, kru kabin terdedah dengan aduan penumpang hanya kerana dirasakan tidak memberikan kerjasama untuk mengangkat beg mereka.

“Esok keluar emel penumpang adu itu ini. Allah bagi kita lengkap semua untuk berfikir, anda sendiri tak boleh angkat, jadi anda ingat kami boleh angkat?

“Lagi-lagi lelaki yang tak gentleman suruh kami angkat beg, saya cakap excuse me sir, please be a gentleman. Seriuslah kau suruh perempuan angkat beg? 

“Memang saya suruh dia keluar dari tempat duduk dan angkat sendiri. Orang tua, kalau tahu dah tak larat, daftar masuk beg tu, jangan bawa masuk kabin. Sama juga dengan penumpang yang bawa bayi, daftar masuk beg tu ya,” katanya.

Kru kabin meminta penumpang memahami dan menghormati tugas mereka.

Walaupun tidak pernah mengalami sendiri insiden mengangkat beg penumpang, kru kabin berkenaan berkongsi mengenai situasi yang tidak dapat dilupakan semasa bertugas di awan biru.

“Pengalaman tak boleh lupa, penumpang buka seluar anak dia kencing tengah kabin sebab saya tak beri dia masuk tandas sebab sikit lagi nak mendarat. Dia kemudian marah-marah sampai mendarat,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut mengingatkan bahawa bagasi bersaiz kabin hanya berat maksimum tujuh kilogram boleh dibawa masuk ke dalam kabin pesawat.

“Kalau rasa boleh angkat sendiri, bawa masuk kabin dan angkat. Kalau tak, daftar masuk bagasi tu... bawa yang perlu saja dalam beg galas dan letak di bawah tempat duduk hadapan anda.

“Selain senang, ia juga akan mempercepatkan proses berlepas. Jadi, penerbangan tak lewat sebab fasal bagasi boleh jadi lewat. 

“Nak tunggu penumpang duduk, nak keluarkan bag untuk letak dalam kargo ambil masa juga tu. Jadi, sama-sama kita sado mengangkat beg,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain