suria

Semakin ramai mati mengejut dalam kereta, ini yang 4 pemuda ini hasilkan! - “Harap ada syarikat sudi bangunkan teknologi ni”

Alat pengesan karbon monoksida dipasang pada bahagian dashboard dan akan berbunyi jika kadar bacaan udara melebihi 150ppm.

BARU-baru ini kita digemparkan dengan kes seorang gadis meninggal dunia dalam keadaan enjin dan penghawa dingin kereta masih hidup.

Bimbang dengan insiden seperti itu yang semakin kerap berlaku, sekumpulan pelajar Politeknik Port Dickson (PD) tampil dengan rekaan alat pengesan karbon monoksida dalam kenderaan.

Ciptaan empat pelajar berusia 20 tahun itu tular selepas video prototaip teknologi itu mendapat perhatian netizen di Twitter.

Rata-rata kagum dengan ciptaan mereka.

ARTIKEL BERKAITANl: “Ini yang patut viral, bukan picit-picit di Family Mart” - Syed Saddiq kagum remaja cipta aplikasi hidupkan motosikal, guna kad pun boleh!

ARTIKEL BERKAITAN: Hebatnya kamu! Umur baru 20 tahun dah ada motosikal ala Iron Man, “Kalau tekan butang, keluar suara bersedia tuan!”

"Inovatif. Semoga dapat jual idea dan patternkan," tulis Azam.

"Great job bro, cepat commercialize produk ni. Mesti lakulah," kata Faz.

Malah terdapat netizen yang membuat pautan (tagging) pada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memaklumkan mengenai inovasi ciptaan empat anak muda itu.

Dari kiri: Arief, Muhammad Fuad, Ahmad Daniel dan Muhammad Iman.

Salah seorang pencipta inovasi itu, Muhammad Arief Ridzuan Mohd Zaid berkata alat itu mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan.

"Proses untuk menghasilkan alat ini amat mencabar. Kadang jadi, kadang tak jadi. Ada pula benda terbakar sebelum prototaip betul-betul siap sempena Hari Inovasi kami bulan lalu.

"Meskipun kami pelajar automatif, kami turut meminta pandangan orang luar mengenai idea itu. Lepas tu barulah kami buat bermula daripada nak cari coding sehinggalah ke bahagian wiring.

Jadi kami set bacaan pada 150ppm untuk halang kadar udara berbahaya. Alat itu akan berbunyi jika lebih daripada 150ppm. Lepas tu tingkap juga akan terbuka sendiri selama satu saat.

MUHAMMAD ARIEF RIDZUAN MOHD ZAID

PENUNTUT POLITEKNIK PORT DICKSON

"Walaupun bacaan ada sedikit masalah tapi prototaip itu berjaya dihasilkan. Alhamdulillah itu dah kira perfect cuma perlu penambahbaikan sedikit selepas ini," katanya kepada mStar.

Malah Muhammad Arief atau lebih mesra disapa Arief berkata mereka memilih untuk menghasilkan alat itu kerana ia masih belum dibangunkan di negara ini.

"Pada awalnya kami terfikir mahu menghasilkan alat multifunction dalam satu kotak untuk projek final year kami. Tapi selepas ditapis semuanya, kami pilih untuk hasilkan pengesan karbon monoksida.

Alat pengesan karbon monoksida ini disiapkan selama enam bulan.

"Kami pilih pengesan itu sebab sekarang banyak dah kes meninggal tidur dalam kereta. Lagipun alat tu tak ada lagi yang develop. Kami pun buat research sedikit demi sedikit mengenainya.

"Jadi kalau alat ini dipasang dalam kenderaan sekurang-kurangnya dapatlah menghalang insiden kematian secara mengejut daripada berlaku," katanya.

Jelas Arief lagi, alat itu berupaya mengesan bacaan kehadiran karbon monoksida secara berlebihan di dalam sesebuah kenderaan.

"Alat tu kami letak dekat dashboard kenderaan. Bila aircond buka bacaan udara segar 0-20 parts per milion (ppm). Kalau kadar berbahaya 200ppm ke atas.

"Jadi kami set bacaan pada 150ppm untuk halang kadar udara berbahaya. Alat itu akan berbunyi jika lebih daripada 150ppm. Lepas tu tingkap juga akan terbuka sendiri selama satu saat," katanya.

Meskipun menerima maklum balas positif daripada pensyarah dan panel industri mengenai alat itu, Arief berharap agar ada syarikat automobil sudi membangunkan ciptaan mereka.

Arief bersama rakannya sewaktu menguji alat pengesan karbon monoksida dengan power window.

"Ramai cakap alat tu bagus sebab tak ramai orang buat. Kebanyakan pengesan karbon monoksida ni orang pasang dekat bangunan dan rumah. Jadi kalau alat ni dipasang pada kenderaan lebih bagus.

"Yalah kita nak kurangkan kadar kematian dalam kenderaan. Kadang kita drive jauh mesti nak rehat. Ada masa tu kita terlelap dan tak perasan kehadiran karbon monoksida dalam kenderaan.

"Jadi kita sebenarnya nak halang berlaku kematian yang kita tengok saban hari semakin meningkat. Saya harap ada syarikat automobil yang sudi bangunkan teknologi ini," katanya.

Selain Arief, alat itu juga dihasilkan Muhammad Fuad Mohd Shah, Ahmad Daniel Zainurin dan Muhammad Iman Haqiemi Mohamad Zaki.

Kesemuanya merupakan pelajar semester lima dan enam jurusan Diploma Mekanikal (Automotif).

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain