suria

Esok kertas akhir SPM, malam sempat conteng baju sekolah pakai masa jawab exam... ramai fikir 2 kali nak kecam!

Lukis hasil tangan dengan karakter Naruto dilukis pada baju sekolah Yusuf.

SEAKAN-akan menjadi trend calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila tiba hari terakhir persekolahan baju sekolah mereka dijadikan kanvas bagi melakar kenangan bersama rakan.

Ramai yang memberi alasan untuk dijadikan kenangan, tetapi ada juga yang kurang bersetuju dengan tindakan itu kerana terdapat banyak cara lagi bagi pelajar mengabadikan memori bersama rakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jubah koyak masuk celah rim, didenda RM500 diploma kena tahan... Warga Twitter hulur sumbangan pun kena kecam

"Lain orang, lain cara. Mungkin ini cara saya dan kawan-kawan raikan hari terakhir persekolahan sebelum kami melangkah masuk ke alam universiti," luah seorang pelajar kepada mStar.

Posting yang dimuatnaik oleh Muhammad Yusuf Abib di akaun Twitter miliknya pada Rabu memaparkan beberapa foto baju sekolahnya diconteng tular.

Posting tersebut tular di Twitter dengan meraih kira-kira 3,600 ulang kicau (Retweet).

Namun apa yang menarik perhatian netizen adalah hasil seni lukisan tangan tersebut sangat halus dan kreatif.

Dikenali sebagai Yusuf dia berkata, baju sekolah itu dilukis oleh sepupunya pada malam sebelum hari terakhir persekolahan.

"Sebenarnya bukan saya yang lukis, tapi sepupu saya. Saya minta dia tolong lakarkan menggunakan pensil 2B biasa. Lepas itu saya warnakan pula dengan marker pen. Kami lukis sehari sebelum menjawab kertas terakhir SPM.

"Saya minta dia lukis salah satu karakter anime Naruto, sebab saya minat sangat. Bukan itu sahaja saya turut mengikuti anime Naruto itu dari episod satu hinggalah episod sekarang ini," katanya.

Jelas pelajar berusia 17 tahun ini, baju tersebut kemudiannya dipakai pada Khamis sewaktu dia mengambil peperiksaan SPM.

Ini cara saya nak raikan hari terakhir persekolahan dengan kawan-kawan. Mungkin cara kita tak sama tapi ini cara kami dan masing-masing gembira. Dapat juga kami cipta kenangan bersama.

MUHAMMAD YUSUF ABIB

PELAJAR

Namun jelasnya, baju tersebut dipakai di bahagian dalam dan kemudiannya sehelai lagi baju sekolah biasa disarung.

"Semalam (Rabu) masa masuk dewan peperiksaan saya pakai baju yang diconteng tu dekat dalam dan sarungkan dengan baju sekolah yang elok. Lepas sahaja selesai menjawab baru saya tukar," kata Yusuf.

Yusuf bersama dua lagi rakannya yang turut sama-sama menconteng baju sekolah mereka.

Dia yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat, Kuala Lumpur mengakui bahawa tindakannya itu salah serta melanggar peraturan sekolah.

Disebabkan itulah dia bertindak untuk 'mempamerkan' baju yang dicontengnya selepas selesai menjawab peperiksaan.

"Saya tahu benda tu salah dan pelajar tidak dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan jika berpakaian seperti itu. Sebab itu saya hanya pakai di dalam bagi menghormati peraturan sekolah," ujar Yusuf.

Tambah anak kedua daripada lima beradik ini, sepupunya yang dikenali sebagai Azib merupakan seorang yang pandai melukis.

Yusuf (kanan) bersama sepupunya, Muhammad Azib.

Malah selain Yusuf, terdapat dua lagi rakannya meminta Azib melukis beberapa karakter seperti Joker dan Vemon pada baju mereka.

"Azib memang pandai melukis sejak kecil lagi. Dia sebaya dengan saya dan bersekolah di sekolah yang sama. Cuma dia ambil aliran akaun, saya pula sains. Malam tu, mereka semua datang rumah saya saja lepak-lepak.

"Kemudian saya minta Azib lukiskan gambar Naruto pada baju sekolah saya, lepas itu kawan-kawan yang lain pun minta juga. Azib cuma lakarkan sahaja, kemudian kami masing-masing warnakan sendiri," kata Yusuf.

Baju sekolah yang dilukis oleh Azib hanya menggunakan sebatang pensil dan diwarnakan dengan marker pen.

Namun kata Yusuf, hanya dia bersama dua orang rakannya sahaja yang menconteng baju sekolah mereka, manakala sepupunya tidak melakukannya.

Ini kerana, sepupunya merupakan seorang pengawas di sekolah tersebut.

"Azib lukis pada baju kami bertiga sahaja. Baju dia tak lukis sebab dia pengawas, lagipun tak cantik kalau lukis sebab baju dia warna biru. Jadi hanya kami bertiga sahaja," ceritanya.

Komen positif yang ditinggalkan netizen pada posting tersebut.

Walau bagaimanapun, dia juga mengakui terdapat segelintir individu yang mengecam tindakannya bersama rakan-rakan kerana menconteng baju sekolah tersebut.

"Saya memang tak nafikan ada betulnya apa yang dikatakan mereka. Tetapi ibu dan ayah saya OK, lepas lukis saya tunjuk pada mereka dan mereka pun tak ada cakap apa-apa. Mereka faham yang saya pun buat sekadar suka-suka.

"Ini cara saya nak raikan hari terakhir persekolahan dengan kawan-kawan. Mungkin cara kita tak sama tapi ini cara kami dan masing-masing gembira. Dapat juga kami cipta kenangan bersama," luahnya yang menghormati teguran netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
baju, sekolah, lukis, SPM, conteng

Artikel Lain