SIAPA yang tidak sedih apabila kucing peliharaan yang dibelai penuh kasih sayang, mati di depan mata. Demikian kisah gadis ini yang mana kucingnya mati selepas beberapa hari dihantar untuk boarding di hotel atau tempat penginapan binatang peliharaan. ARTIKEL BERKAITAN: Si bulus merajuk gara-gara tuan terpicit ‘berlian’ masa mandi, terus tak nak keluar bilik air – “Mia datang dekat pun tak layan” ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Jumaat! Lelaki saksi anak kucing bertarung nyawa dibaling dari atas pangsapuri - “Mereka diam sahaja, seperti takut” Berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Atirah ini berkata, pada mulanya dia menghantar lima kucingnya ke hotel haiwan yang terletak di Dengkil, Selangor kerana mahu pulang ke Pulau Pinang untuk beberapa hari. “Saya hantar lima kucing iaitu seekor ibu dan empat anaknya yang berusia 10 minggu ke hotel berkenaan selama lima hari. Ketika saya hantar, kesemuanya dalam keadaan elok dan terurus. Perkongsian Atirah mengenai pengalamannya menghantar kucing ke sebuah hotel haiwan menjadi tular di Twitter. “Namun selepas mengambil kucing-kucingnya sekembali dari Pulau Pinang, keadaan mereka sangat lemah terutama empat anak-anak kucing itu. “Ketika mengambil mereka, saya tak perasan perbezaannya lagi memandangkan badan mereka basah seperti dicuci. Biasalah, kalau basah memang nampak kecil sedikit tapi tak syak apa-apa langsung, tambahan pula ambil pada waktu malam. “Setibanya di rumah, baru nampak keadaan sebenar kucing-kucing ini. Mereka langsung tak keluar dari sangkar walau dibuka, malah tidak mengeluarkan suara. Saya terpaksa angkat untuk keluarkan, dan ketika itu barulah nampak keadaan mereka. Ada yang sakit mata dan ada yang selesema,” ujarnya dalam nada terkilan. Keadaan empat ekor anak kucing Atirah sebelum dihantar ke hotel tersebut. Bercerita lebih lanjut kata Atirah, keadaan salah seekor anak kucingnya makin teruk apabila kelihatan lemah dan enggan menyentuh sebarang makanan mahupun minuman. “Saya tak hantar pergi ke klinik sebaliknya merawat sendiri dengan memberi makan ubat demam dan menyapukan ubat mata. Namun dua hari kemudian, anak kucing tersebut nazak dan akhirnya mati di pangkuan saya. Sedih tu tak payah ceritalah,” ujarnya. Tambah gadis berusia 22 tahun ini, dia kemudian memuat naik kisah tersebut di laman sosial, namun ia bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak sebaliknya lebih kepada berkongsi pengalaman sedihnya. Keadaan dua ekor anak kucing Atirah yang lemah, di mana salah seekornya mati beberapa hari selepas diambil dari hotel tersebut. “Saya tak berniat langsung nak aibkan pihak di sana (hotel). Tapi ramai yang bersimpati dan minta saya dedahkan nama hotel tersebut untuk peringatan bersama. Saya tak mahu tutup periuk nasi orang sebab mereka pun berniaga. “Tapi pihak sana dapat tahu selepas ramai yang kongsi tweet saya ini. Mereka pertahankan diri dengan berkata, mereka dah maklumkan keadaan seekor kucing saya yang selesema ketika hari kedua di sana. Memang ada mereka maklumkan kepada saya ketika itu. “Baik, mungkin silap saya sebab tak perasan kucing saya selesema sebelum hantar. Tapi sepatutnya dia asingkan. Kalau betul cara penjagaannya, takkan sampai empat ekor sakit. Saya ada bertanya, macam mana cara mereka jaga kucing namun hingga hari ini tak dapat jawapan,” katanya sambil menambah, kesemua kucingnya divaksin. Mungkin silap saya sebab tak perasan kucing saya selesema sebelum hantar. Tapi sepatutnya dia asingkan. Kalau betul cara penjagaannya, takkan sampai empat ekor sakit. ATIRAH Namun menurut Atirah, ini merupakan kali kedua sejak kucing keluarga mereka dihantar ke hotel yang sama. “Dua tahun lalu, kakak saya ada hantar kucing mereka di hotel tersebut. Malangnya, kucing itu mati beberapa hari kemudian. Tapi saya tak syak apa-apa pun sebab perkara itu sudah lama. Namun tak sangka, kejadian yang sama berulang kepada anak kucing saya pula,” luahnya. Kata Atirah, kini seekor lagi anak kucingnya mengalami simptom yang sama dengan kucing yang mati baru-baru ini. “Yang seekor itu masih lemah dan struggle untuk hidup. Apa yang terjadi kini membuatkan saya serik dan tak mahu lagi hantar kucing ke hotel. Walaupun terkilan, tapi saya enggan menyalahkan pihak di sana seratus peratus. “Mungkin silap juga sebab saya tidak meneliti betul-betul sebelum memilih untuk menghantar kucing ke situ. Kepada pemilik kucing, saya sarankan agar anda membaca review pelanggan lain terlebih dahulu sebelum menghantar kucing ke mana-mana hotel, dibimbangi akan mengalami nasib seperti saya,” ujarnya mengakhiri bicara.